Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Dunia

Ariana Grande saman Forever 21 AS$10 juta

Sep 04, 2019 | 10:17 AM

LOS ANGELES - Penyanyi pop Ariana Grande telah menyaman syarikat fesyen dan kecantikan Forever 21 (termasuk syarikat Riley Rose, yang dimulakan oleh anak kepada jutawan yang memiliki Forever 21) sebanyak AS$10 juta (S$14 juta), atas tuduhan telah menggunakan populariti dan pengaruhnya untuk menjual barangan mereka.

Dalam satu aduan yang difailkan pada Isnin (2 September), Ariana berkata syarikat Forever 21 dan Riley Rose telah menyalahgunakan namanya, imej dan muziknya, termasuk telah menggunakan seorang model yang mirip dengan dirinya untuk kempen syarikat itu di laman web dan media sosial pada awal 2019.

Ariana menjelaskan hal ini berikutan rundingan gagal untuk mendapatkan beliau untuk kempen pemasaran bersama Forever 21, kerana bayaran yang ditawarkan oleh syarikat itu tidak bertepatan dengan statusnya sebagai seorang selebriti.

Jika Ariana diambil untuk membantu kempen pemasaran sebuah syarikat, pembayarannya akan mencecah jutaan dolar untuk sokongan jangka panjang.

Ariana, 26 tahun, mempunyai lebih 65 juta pengikut di Twitter dan 163 juta pengikut di Instagram. 

Tambahan pula, kebanyakan pengikut beliau di media sosial merupakan golongan pasaran sasaran syarikat Forever 21 dan Riley Rose.

Apabila Reuters menghubungi syarikat Forever 21 dan Riley Rose untuk mendapatkan sebarang keterangan, kededua syarikat tersebut tidak menjawab.

Ditubuhkan pada 1984, syarikat Forever 21 kini mempunyai 815 cawangan di 57 negara.

Menurut majalah Forbes, pengasasnya, Encik Do Won Chang dan Cik Jin Sook Chang, mempunyai nilai AS$1.5 bilion. 

Anak perempuan mereka, Cik Linda Chang dan Cik Esther Chang, telah membuka butik Riley Rose yang pertama pada 2017.

Menurut aduan Ariana, syarikat Forever 21 dan Riley Rose telah menyalahgunakan sekitar 30 imej dan video, termasuk dengan menggunakan audio dan lirik daripada lagunya yang menduduki carta pertama, iaitu 7 Rings, dan dengan menggunakan model yang mirip dengannya. -Agensi Berita.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian