Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS gesa Israel elak tingkat konflik dengan Lebanon

Jun 25, 2024 | 4:57 PM
Asap menerawang di sebuah kawasan di Israel dekat sempadan Lebanon, menyusuli serangan dron dari Lebanon pada 23 Jun.
Asap menerawang di sebuah kawasan di Israel dekat sempadan Lebanon, menyusuli serangan dron dari Lebanon pada 23 Jun. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, menggesa Israel supaya mengelakkan peningkatan konflik di Lebanon, dalam pertemuan beliau dengan menteri pertahanan Israel pada 24 Jun.

Beliau dan Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, mengadakan mesyuarat untuk membincangkan usaha mencapai perjanjian bagi membebaskan tebusan di Gaza.

Encik Gallant sedang melawat Washington untuk mengesahkan nilai hubungan dengan sekutu utama Israel itu, selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengecam Amerika secara terbuka terhadap apa yang disifatkannya sebagai kelewatan dalam penghantaran senjata.

Dalam pertemuan dua jam dengan Encik Gallant di Jabatan Negara, Encik Blinken membincangkan diplomasi tidak langsung antara Israel dengan Hamas mengenai perjanjian yang “menjamin pembebasan semua tebusan dan meringankan penderitaan rakyat Palestin”, kata jurucakap Jabatan Negara, Encik Matthew Miller.

Encik Blinken turut “menegaskan peri penting mengelakkan peningkatan lanjut konflik dan mencapai huraian diplomatik yang membolehkan penduduk Israel dan Lebanon pulang ke rumah masing-masing” kata Encik Miller dalam satu kenyataan.

Ketegangan semakin meningkat, dengan serang-menyerang antara Israel dengan kumpulan Hezbollah Lebanon, yang disokong Iran.

Encik Netanyahu berkata tentera Israel sedang menamatkan pertempuran paling sengit dalam perang Gaza dan akan mengerahkan semula askarnya ke sempadan utara Gaza, walaupun beliau menyifatkannya sebagai strategi pertahanan.

Encik Gallant juga bertemu ketua Agensi Risik Pusat (CIA), Encik Bill Burns, perunding Amerika dalam isu membebaskan tebusan Israel daripada Hamas.

“Saya ingin menekankan bahawa adalah komitmen utama Israel untuk mengembalikan tebusan kepada keluarga dan kediaman mereka,” kata Encik Gallant sebelum memulakan mesyuaratnya.

“Kami akan terus melakukan segala usaha yang mungkin untuk membawa mereka pulang,” katanya.

Beliau tidak membuat sebarang komen lanjut selepas pertemuan dengan Encik Blinken, sedang beberapa dozen penunjuk perasaan di luar Jabatan Negara melaungkan kata-kata “penjenayah perang”.

Konflik terbaru itu berlaku menyusuli serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober. Amerika berharap jurang antara kumpulan Palestin itu dengan Israel dapat dirapatkan.

Encik Netanyahu, yang menghadapi bantahan besar berhubung gesaan agar beliau menerima perjanjian gencatan senjata, menjengkelkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, dengan menuduh Washington mengurangkan penghantaran senjata dan peluru.

Encik Biden, yang menghadapi kritikan atas sokongannya kepada Israel, menahan penghantaran senjata, termasuk bom seberat 2,000 paun, ke negara sekutunya itu.

Encik Netanyahu, yang mempunyai hubungan rapat dengan pesaing Encik Biden dalam Parti Republikan, memberitahu mesyuarat Kabinetnya pada 23 Jun bahawa terdapat “penurunan dramatik dalam bekalan” senjata Amerika sekitar empat bulan lalu.

“Ada senjata lain yang kami terus sediakan kepada Israel, seperti yang kami lakukan sejak bertahun-tahun, kerana kami komited terhadap keselamatan Israel. Tiada perubahan dalam hal ini,” kata Encik Miller. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg