Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:29
Maghrib
7:20
Isyak
8:29
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Dunia0

LINGKARAN ASIA

Asia dilanda gelombang baru Covid-19

Jan 18, 2021 | 05:30 AM

SELANG tempoh setahun, penularan Covid-19 di serata dunia masih terus runcing.

Di Eropah misalnya, kebanyakan negara di benua itu masih dibelenggu kadar tinggi jangkitan baru Covid-19. Di Amerika Syarikat, ia terus mencatat kes bilangan harian tertinggi di dunia, melebihi 200,000, dengan jumlah jangkitan mencapai lebih 24 juta orang.

KEADAAN ASIA

Negara di Asia menghadapi keadaan berbeza-beza.

Kes jangkitan di India telah berkurangan daripada kemuncaknya - pernah mencapai lebih 90,000 kes sehari - kini mencatat purata kurang 20,000 kes sehari sejak satu dua minggu lalu.

Berita Popular

Singapura mengalami kes jangkitan tempatan yang rendah, walaupun jumlah kes importnya kekal tinggi dua angka, ekoran langkah membuka sempadannya secara bertahap-tahap.

Namun, negara seperti Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Malaysia, Thailand dan China pula menghadapi gelombang penularan baru yang telah meningkatkan kes jangkitan tempatan Covid-19 di negara masing-masing.

JEPUN

Di Jepun, Perdana Menteri Yoshihide Suga, meluaskan keadaan darurat di sekurang-kurangnya tiga wilayah di kawasan barat iaitu Osaka, Kyoto dan Hyogo dalam usaha membendung penularan koronavirus itu. Sebelum ini, keadaan darurat diisytiharkan di ibu kota Tokyo dan tiga wilayah timur iaitu Kanagawa, Chiba dan Saitama.

Malah, kemudian keadaan darurat itu diluaskan lagi kepada dua lagi wilayah - Aichi dan Gifu - dan kesemuanya melibatkan lebih separuh daripada 126 juta penduduk Jepun.

KOREA SELATAN

Selepas mengalami catatan kes empat angka semasa cuti hujung tahun dan awal tahun, kes di Korea Selatan turun kepada kurang daripada 500 kes. Walaupun merosot, angka itu tetap tinggi berbanding beberapa bulan lalu apabila negara itu mencatat kes dua angka.

Korea Selatan tidak melaksanakan langkah sekatan pergerakan sepenuhnya, namun melaksanakan beberapa sekatan yang belum dilakukan sebelum ini termasuk mengharamkan kegiatan berkumpul secara privet melebihi empat orang.

Di kawasan ibu kota Seoul dan kawasan kelilingnya, sebilangan perniagaan berisiko tinggi seperti gimnasium dan bar diarah tutup.

INDONESIA

Di Indonesia pula kes Covid-19 terus meningkat ke tahap tinggi kira-kira 10,000 kes sehari - tertinggi di kawasan Asia Tenggara.

Pegawai Indonesia mengatakan katil tambahan untuk merawat kes Covid-19 terpaksa perlu ditambah, memandangkan 98 hospital rujukan di negara itu kian kekurangan katil bagi mengasingkan pesakit koronavirus itu.

Pemerintah negara itu juga telah mengerahkan lebih ramai pegawai undang-undang awam, anggota polis dan tentera untuk menguatkuasakan pelaksanaan langkah sekatan pergerakan di serata negara.

MALAYSIA

Di Malaysia, negara itu baru sahaja mengisytiharkan darurat dalam usaha membendung penularan Covid-19 yang memburuk. Ia berlangsung sehingga 1 Ogos depan.

Ini sejurus kerajaan mengumumkan pelaksanaan tiga peringkat perintah sekatan pergerakan serata negara itu sehingga 26 Januari ini, bergantung kepada keadaan wabak di negeri masing-masing.

Negara itu kini menghadapi kes harian melebihi 2,000 hingga 3,000 orang dengan jumlah kematian pada dua bulan lalu menyamai kematian pada tempoh 10 bulan pertama 2020.

THAILAND

Di Thailand, kes jangkitan meningkat sejak berlaku jangkitan kelompok pekerja asing di wilayah Samut Sakhon di selatan Bangkok pada pertengahan Disember lalu.

Satu lagi kelompok membabitkan sarang perjudian haram di timur Thailand juga pada tempoh sama.

Sejak itu bilangan kes baru terus meningkat sehingga memaksa negara itu melaksanakan sekatan pergerakan baru ke atas perniagaan dan acara berkumpulan di 28 wilayah yang paling teruk terjejas.

CHINA

Setelah berbulan-bulan tanpa sebarang kes besar, China kini menghadapi kenaikan kes, walaupun tidak seburuk yang berlaku pada pertengahan pertama tahun lalu.

Pemerintah China melaksanakan sekatan baru di kawasan sekeliling Beijing, khususnya wilayah Hubei, mulai seminggu lalu, meletakkan 4.9 juta penduduk di bawah sekatan itu sedang jangkitan baru meningkatkan kebimbangan akan berlakunya gelombang kedua wabak itu.

Shijiazhuang, ibu kota wilayah Hebei, adalah paling teruk terjejas dengan penduduk bandar itu diletak di bawah sekatan pergerakan ketat. Beberapa bandar lain juga dikenakan sekatan pergerakan.

RUMUSAN

Wabak Covid-19 masih terus menular dari masa ke masa dan akan terus menimbulkan ancaman kepada penduduk dunia.

Ancaman penularan ini perlu dipandang serius dengan penduduk dunia perlu mematuhi langkah pengurusan selamat seperti jarak selamat, memakai pelitup dan selalu membersihkan tangan.

Vaksin yang kini mula diedarkan adalah penting, namun ia bukan huraian lengkap kepada pencegahan wabak Covid-19, dengan usaha vaksinasi mesti disertai dengan amalan langkah pengurusan selamat itu.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map