SAN DIEGO: Amerika Syarikat, Australia dan Britain pada Isnin, mendedahkan butiran rancangan untuk menyediakan Australia dengan kapal selam penyerang kuasa nuklear bermula awal tahun 2030-an, satu tindak balas bagi tingkah laku China di Indo-Pasifik.

Bercakap di majlis khas di pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di San Diego, Presiden Amerika, Encik Joe Biden, yang diapit Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, dan Perdana Menteri Britain, Encik Rishi Sunak, berkata komitmen terbaru di bawah perjanjian Aukus 2021 - yang disertai tiga negara ini - itu adalah sebahagian kesungguhan yang dikongsi bagi memelihara Indo-Pasifik yang terbuka dan bebas bersama dua rakan Amerika yang amat berupaya.

Encik Sunak menyifatkan kerjasama terbaru ini sebagai amat berkuasa dan berkata:

"Buat julung-julung kalinya, tiga armada kapal selam akan bekerjasama dalam kawasan yang merentas Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik untuk menjamin kebebasan lautan kita... bagi beberapa dekad akan datang."

Di bawah perjanjian itu, Amerika bercadang menjual kepada Australia tiga kapal selam kuasa nuklear kelas AS Virginia yang dibina oleh General Dynamics, pada awal tahun 2030-an.

Australia juga diberi pilihan untuk membeli lagi dua kapal selam jika ia diperlukan, kata satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu berkata projek berbilang peringkat itu bermatlamat mengadakan kerjasama antara Britain dengan Australia untuk menghasilkan dan memulakan operasi satu kelas kapal selam baru - SSN-Aukus - yang dibina bersama oleh tiga negara.

Kapal selam ini akan dibina menggunakan rekaan generasi selanjutnya dari Britain dan bakal menggunakan teknologi canggih dari Amerika.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ia akan dibina di Britain dan Australia.

Britain akan menerima kapal selam SSN-Aukus pertama pada penghujung tahun 2030-an dan Australia akan menerima kapal selam pertamanya pada awal tahun 2040-an.

Kapal itu akan dibina oleh BAE Systems dan Rolls-Royce.

"Perjanjian Aukus yang dimeterai di San Diego ini mewakili pelaburan tunggal terbesar dalam sejarah bagi keupayaan pertahanan Australia, memperkukuh keselamatan negara dan kestabilan di rantau kita," kata Encik Albanese di majlis itu.

Seorang pegawai pertahanan Australia berkata projek itu menelan belanja A$368 bilion (S$330 bilion) menjelang 2055.

Aukus ialah kali pertama Washington berkongsi teknologi kuasa pendorongan nuklear sejak ia berbuat demikian dengan Britain pada tahun 1950-an.

Encik Biden menekankan kapal selam itu akan menggunakan kuasa nuklear dan bukan dilengkapkan dengan senjata nuklear.

"Kapal-kapal ini tidak akan membawa sebarang senjata nuklear," kata beliau.

China telah mengecam Aukus sebagai satu tindakan di luar undang-undang berhubung pertambahan senjata nuklear.

Perjanjian antara Australia dengan Britain dan Amerika itu juga telah mengecewakan Perancis, selepas Australia membatalkan perjanjian untuk membeli kapal selam konvensional dari Perancis.

Ditanya sama ada beliau bimbang China akan menganggap perjanjian kapal selam Aukus sebagai satu tindakan agresif, Encik Biden berkata tidak.

Encik Biden berkata beliau menjangka bercakap dengan pemimpin China, Encik Xi Jinping, tidak lama lagi, tetapi tidak memberikan butiran lain. - Reuters.