SYDNEY: Pihak berkuasa Australia mengumumkan semalam langkah melonggarkan perintah sekatan, dengan penduduk yang telah divaksinasi sepenuhnya bebas daripada perintah duduk rumah menjelang Oktober ini, lapor media tempatan.

Ketua Menteri bagi negeri New South Wales, Cik Gladys Berejiklian, mulanya melakar strategi sifar-Covid bagi mengekang penularan varian Delta yang bermula pada pertengahan Jun lalu, tetapi kini telah beralih ke usaha untuk meningkatkan kadar inokulasi.

Kafe di Sydney, restoran dan pub akan kembali dibuka pada separuh kedua bulan depan selepas berbulan-bulan dilaksanakan perintah sekatan pergerakan yang ketat, sedang Perdana Menteri memberi amaran jumlah kes lebih tinggi akan berlaku selepas perintah sekatan dilonggarkan.

Pihak berkuasa berkata bar di Sydney dan pusat makan serta gimnasium, di serata kota dengan penduduk seramai lima juta itu akan dapat dibuka semula tetapi pada kadar kunjungan pelanggan lebih rendah dalam beberapa hari sebaik negeri New South Wales (NSW) mencapai sasaran vaksinasi berganda sebanyak 70 peratus, yang kini dijangka berlaku pada pertengahan bulan depan.

Perintah duduk di rumah untuk mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya akan dibatalkan pada hari Isnin selepas sasaran dicapai, kata pegawai kerajaan.

Pelan ini datang selepas jumlah jangkitan berada hampir di paras tertinggi di NSW di tengah-tengah lonjakan jangkitan varian Delta, dengan negeri itu merekodkan 1,405 kes tempatan semalam, lebih rendah berbanding 1,480 sehari sebelumnya.

Lima kematian baru dicatatkan.

"Hidup dengan Covid bermakna anda harus berhati-hati dan pembukaan tempat dilakukan secara berperingkat sebaik menerima kadar vaksinasi yang tinggi di kalangan penduduk dewasa," kata ketua menteri NSW, Cik Gladys Berejiklian, semasa sesi taklimat media di Sydney, ibu kota negeri tersebut.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Cik Berejiklian menjangkakan kes akan meningkat bila sekatan dilonggarkan dan memberi amaran berlakunya perintah sekatan mengikut tempat sekiranya "terdapat jumlah jangkitan (yang tinggi) di satu-satu sempat".

Undang-undang bagi perintah sekatan di luar Sydney juga telah ditamatkan sejak Sabtu lalu dan selepas jumlah kecil kes yang direkodkan.

Sydney mungkin membuka semula sekolah yang akan bermula dengan kumpulan murid mengikut usia mulai 25 Oktober ini.

"Tarikh (Pembukaan semula sekolah) telah ditetapkan kerana kita perlu menyediakan kepastian dan merancang bagi keperluan golongan pelajar, tetapi untuk orang dewasa, kita punya keupayaan untuk lebih bertolak ansur," katanya.

Cik Berejiklian mulanya melaksanakan pendekatan dan strategi sifar-Covid bagi mengurangkan beban penularan varian Delta yang bermula sejak pertengahan Jun lalu, tetapi kini mula beralih ke kadar inokulasi yang semakin meningkat.

Kira-kira 43 peratus penduduk berusia 16 tahun ke atas kini berada di kawasan paling ramai penduduk yang telah divaksinasi melebihi kadar nasional sebanyak 40 peratus.

Pelan pembukaan ekonomi Sydney akan memberi sedikit kelegaan kepada sektor perniagaan - dengan perintah sekatan di Sydney dan Melbourne, dua kota terbesar Australia, boleh mengancam ekonomi AS$2 trilion ($1.47 trilion) menghadapi kemelesetan ekonomi kedua dalam tempoh dua tahun ini.

Perdana Menteri Scott Morrison berkata semalam, usaha pembukaan semula New South Wales adalah selaras dengan pelan nasional empat peringkat yang dibentangkan pada Julai lalu yang menjanjikan lebih banyak kebebasan sebaik negara itu mencapai inokulasi antara 70 hingga 80 peratus.

Jumlah kes Covid-19 di Australia adalah jauh lebih rendah dengan hanya 68,000 kes dan 1,066 kematian. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti