KUALA LUMPUR: Menteri Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali menolak tepi saranan oleh parti-parti tertentu supaya beliau ‘berehat’ sementara pihak berkuasa menyiasat video seks yang didakwa melibatkan beliau dan lelaki lain.
Beliau menegaskan akan tetap menjalankan tugasnya sebagai menteri dan pemimpin Pakatan Harapan selepas skandal tersebut di mana polis telah pun memberkas Haziq Abdullah Abdul Aziz semalam.
Haziq mendakwa lelaki yang terlibat dalam video itu adalah beliau dan Datuk Azmin.
“Kami mesti terus menyampaikan kepada rakyat mandat yang sangat besar ini (dan) tidak pernah berlaku selama tempoh 60 tahun sebelum ini. Mereka mahukan perubahan ini, dan mereka telah melakukannya semasa pilihan raya lalu.
“Saya berada di sini untuk menyokong Perdana Menteri, dan kami akan terus bergerak ke hadapan untuk menyampaikannya kepada rakyat,” kata Datuk Azmin kepada pihak media selepas rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Bukit Antarabangsa hari ini.
Semalam, Otai Reformasi, kumpulan aktivis hak asasi manusia, menggesa Datuk Azmin untuk ‘berehat’ sementara menunggu hasil siasatan polis terhadap video tersebut.
Sementara itu, Datuk Azmin berkata beliau masih belum dipanggil pihak polis. Namun, pembantu beliau, Muhammad Hilman Idham akan terus merakam kenyataannya Isnin depan.