LONDON: Tubuh seorang lelaki yang dipercayai penumpang gelap (stowaway) yang jatuh dari gear pendaratan sebuah pesawat Kenya Airways telah ditemui di taman di London, kata polis semalam.
Polis Metropolitan London berkata mereka menerima panggilan dari sebuah rumah di Clapham di Selatan London setelah tubuh itu ditemui.
Pemeriksaan pos-mortem akan dilakukan dan lelaki itu belum dikenal pasti.
"Pada masa ini kami percaya lelaki itu merupakan penumpang gelap yang jatuh dari gear pendaratan penerbangan Kenya Airways ke Lapangan Terbang Heathrow," ulas polis dalam satu kenyataan.
"Sebuah beg, air dan makanan ditemui di petak gear pendaratan pesawat setibanya di lapangan terbang itu."
Mereka menambah bahawa kematian itu tidak dianggap sebagai mencurigakan dan siasatan sedang dijalankan.
Mereka yang terbang dalam pesawat penumpang di luar kabin terdedah pada suhu membekukan, selain tidak cukup oksigen pada ketinggian tatkala pesawat terbang. - REUTERS/DPA