Banjir berterusan sebabkan ribuan penduduk pantai timur dipindah

KUALA LUMPUR: Lebih 16,000 orang telah dipindahkan menyusuli banjir di negeri-negeri pantai timur Malaysia - Terengganu dan Kelantan, menurut Jabatan Kebajikan Sosial Malaysia, kelmarin.

Kededua negeri itu telah menyaksikan hujan lebat melanda sejak permulaan musim tengkujuh lewat Oktober lalu, dengan Kelantan paling teruk terjejas sejauh ini, menurut jabatan itu.

Lebih 13,000 orang daripada 4,814 keluarga telah diarah berpindah ke 63 pusat bantuan banjir.

Sekurang-kurangnya dua kematian telah dilaporkan sejauh ini, dengan kededuanya ditemui lemas dalam sawah padi yang banjir.

Sekumpulan 14 tukang kayu telah diselamatkan selepas terperangkap selama dua hari akibat air naik.

Terengganu mencatitkan 2,924 orang daripada 805 keluarga yang berpindah ke 65 pusat bantuan banjir.

Banjir yang berkurangan juga dilaporkan di kawasan Johor, yang bersempadankan Singapura, dengan seramai 52 orang telah dipindahkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia, telah mengeluarkan amaran banjir bagi beberapa kawasan yang terdedah akibat banjir di Pahang, dengan menyatakan bahawa cuaca buruk dijangka melanda sehingga Mac depan.

Isnin lalu, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun, menjadi mangsa banjir pertama di Kelantan akibat banjir.

Mayat Mohammad Ilham Hasmadi ditemui di sebuah sawah padi di Pasir Puteh, Kelantan.

Dia dikatakan mengikut pak ciknya ke sebuah longkang untuk menangkap ikan di Felcra Teratak Batu pada Ahad lalu, apabila dia terjatuh daripada sebuah jambatan kayu lalu terjatuh ke longkang yang deras airnya.

Satu panggilan kecemasan dibuat sekitar 20 minit kemudian pada 6.40 petang di mana operasi kemudian bermula.

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan, berkata anggota pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat mangsa pada pagi Isnin lalu, sekitar 400 meter daripada tempat kejadian.

Beberapa penduduk di Kampung Nyatoh, Setiu, memberitahu pemberita bahawa mereka telah menghabiskan sehingga ribuan ringgit dalam usaha menangani banjir yang kerap melanda.

Antaranya mereka meninggikan rumah sehingga dua meter, namun masih tidak berhasil. - Agensi berita.