MELBOURNE: Ribuan orang telah diberi amaran supaya meninggalkan kediaman mereka di tenggara Australia semalam, bagi menyelamatkan diri ekoran ancaman banjir di merata tiga wilayah di negara itu.
Keadaan darurat akibat banjir itu adalah yang paling buruk di Victoria - wilayah Australia yang paling padat penduduk - di mana air melimpah dengan cepat semalam, menenggelamkan Maribyrnong, sebuah kawasan di luar bandar Melbourne, memaksa gerakan memindahkan penduduk.
Kerajaan wilayah Victoria bersedia membuka semula sebuah pusat kuarantin Covid-19 bagi memberi perlindungan sementara kepada mereka yang kediamannya terancam akibat banjir, kata pemimpin wilayah itu, Encik Daniel Andrews, kepada Radio ABC.
"Cabaran sebenar sekarang adalah paras air terus meningkat dan semakin banyak rumah terjejas, juga semakin banyak kemudahan awam terpaksa ditutup."
Lantai bawah sebuah pub, Anglers Tavern, yang terletak di pinggir Sungai Maribyrnong, semalam hampir keseluruhannya ditenggelami air.
Paras banjir hampir tertinggi dijangka Shepparton dan Murchison di utara Melbourne.
Bahagian utara Tasmania - wilayah pulau di selatan Victoria - pula semalam telah membuat persiapan untuk menghadapi banjir besar.
Perintah pemindahan beramai-ramai telah dikeluarkan, sedang hujan lebat mengakibatkan sekitar 120 jalan raya terpaksa ditutup.
"Kehidupan terancam akibat banjir ini," menurut satu kenyataan daripada perkhidmatan darurat wilayah itu.
Di wilayah New South Wales - yang paling ramai penduduk - sebuah pusat penampungan sementara telah disediakan, setelah hujan lebat berterusan pada petang kelmarin di Forbes, sebuah bandar kira-kira lima jam perjalanan darat di timur Sydney.
Perkhidmatan darurat New South Wales berkata paras banjir di Forbes akan memuncak apabila arus banjir mengalir ke arah timur.
Pesisiran timur Australia dituruni hujan lebat yang sering berlaku dua tahun kebelakangan ini, diburukkan lagi dengan ribut La Nina.
Bencana banjir di pantai timur negara itu pada Mac lalu, gara-gara hujan lebat dan ribut telah menjejas beberapa bahagian di Queensland dan New South Wales - mengakibatkan 20 nyawa terkorban.
Puluhan ribu penduduk Sydney telah diarahkan berpindah pada Julai lalu apabila banjir sekali lagi melanda beberapa kawasan di luar bandar kota itu. - AFP.