SYDNEY: Australia menegaskan ia bersikap terbuka, jujur dan berterus terang dengan Perancis berkaitan keprihatinan mereka dalam perjanjian pembelian kapal selam sebelum kontrak pembelian itu dibatalkan.
Menteri Pertahanan Australia Peter Dutton, yang bercakap pada Sky News Australia semalam, berkata pemerintahnya terbuka dan jujur dengan Perancis dan prihatin mengenai perjanjian yang melebihi perbelanjaan serta lewat siap mengikut jadual ditetapkan.
Perancis, yang marah dengan keputusan Australia menarik diri daripada perjanjian bernilai bilion dolar bagi mendapatkan kapal selam bertenaga nuklear Amerika Syarikat, memanggil pulang duta ke Washington dan Australia, selain mendakwa pakatan itu 'berbohong' mengenai rancangan mereka.
"Pemerintah hanya mengambil berat dan meluahkan keprihatinan, kami mahu terus bekerja rapat dengan Perancis dan kami akan meneruskannya pada masa depan," katanya.
Encik Dutton secara peribadi memberitahu hal itu kepada rakan sejawatan dari Perancis Florence Parly dan menekankan Australia perlu mempertahankan kepentingan nasional, dengan memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.
"Begitu juga perubahan keadaan di Indo-Pasifik, bukan hanya sekarang tetapi pada tahun akan datang, kami harus membuat keputusan demi kepentingan nasional dan itulah yang kami lakukan," katanya.
Beliau berkata, Canberra tidak dapat membeli kapal berkuasa nuklear Perancis berikutan kapal itu memerlukan pengecasan, manakala bagi kapal selam Amerika, pengecasan tidak diperlukan.
Katanya, dengan armada kapal selam Australia yang baru yang dijangka tidak beroperasi selama beberapa dekad, ia mungkin menimbangkan menyewa atau membeli kapal selam sedia ada dari Amerika atau Britain buat sementara waktu.
Rabu lalu, Presiden Joe Biden mengumumkan pakatan pertahanan Australia-Amerika-Britain baru bagi memperluas teknologi kapal selam nuklear Amerika ke Australia termasuk pertahanan siber, kecerdasan buatan dan kemampuan bawah laut.
Perjanjian ini dimeterai bagi 'berdepan' kebangkitan China di Asia Pasifik, namun ia membuat Perancis 'berang' kerana kehilangan kontrak membekalkan kapal selam konvensional ke Australia bernilai AUS$90 bilion ($88.16 bilion) ketika dimeterai pada 2016. - Agensi berita