Bayi dua bulan meninggal dalam pesawat
PERTH: Seorang bayi berusia dua bulan dilaporkan meninggal dunia dalam pesawat AirAsia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur, Malaysia, ke Perth, Australia, lapor laman web abc.net.au hari ini (Isnin, 22 April).
Bayi itu dipercayai mengalami "kecemasan perubatan" ketika berada dalam penerbangan D7236 itu awal pagi ini, menurut syarikat penerbangan tersebut.
Seorang jurucakap AirAsia berkata pasukan pakar perubatan dan polis Australia Barat (WA) telah menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.
Pihak berkuasa masih menyiasat insiden itu dan akan menyediakan laporan kepada pegawai bertanggungjawab.
Seorang jurucakap media polis WA berkata tidak wujud situasi mencurigakan berhubung kematian bayi berkenaan.
“Kami tidak dapat mengulas lanjut berhubung situasi perubatan bayi itu.
"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga bayi berkenaan,” kata jurucakap AirAsia dalam satu kenyataan. - Agensi