KABUL: Seorang bayi lelaki yang diserahkan kepada seorang askar di kawasan lapangan terbang oleh ibu bapanya yang sedang dalam keadaan terdesak semasa Amerika Syarikat menjalankan operasi memindahkan orang ramai dari Afghanistan kini telah ditemui dan disatukan semula dengan keluarganya di Kabul.
Sohail Ahmadi, yang hanya berusia dua bulan semasa dia dilaporkan hilang pada Ogos lalu di tengah-tengah lautan manusia yang cuba meninggalkan Afghanistan setelah negara itu jatuh ke tangan Taliban.
Menyusuli laporan eksklusif Reuters pada November lalu, bayi itu ditemui di Kabul di mana seorang pemandu teksi berusia 29 tahun, Encik Hamid Safi, telah menemuinya di lapangan terbang dan membawanya pulang untuk menjaganya.
Selepas lebih tujuh minggu menjalani proses rundingan dan rayuan, termasuk ditahan oleh polis Taliban, Encik Safi akhirnya menyerahkan semula bayi itu kepada datuknya dan anggota keluarga yang lain di Kabul.
Mereka berkata Sohail kini akan cuba disatukan semula dengan ibu bapa dan adik beradiknya yang lain yang kini berada di Amerika Syarikat.
Semasa proses memindahkan penduduk Afghanistan dalam beberapa hari pertama negara itu jatuh ke tangan Taliban, bapa bayi itu, Encik Mirza Ali Ahmadi, yang bertugas sebagai pegawai keselamatan di Kedutaan Amerika, berkata beliau dan isterinya, Cik Suraya, bimbang bayi mereka itu akan cedera apabila keadaan mula menjadi huru-hara.
Beliau kemudian menyerahkan bayi itu kepada seorang askar Amerika yang sedang mengawal pintu masuk ke lapangan terbang kerana yakin mereka akan disatukan semula. - Reuters.