Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MENJELANG RAMADAN

Beberapa negara atur panduan elak penularan

Libatkan aturan bagi iftar, tarawih dan perjalanan beramai-ramai
Apr 07, 2021 | 05:30 AM



TAHUN ini tahun kedua umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan dalam tempoh pandemik Covid-19.



Sedang mereka berusaha untuk mematuhi amalan ibadah puasa dan melakukan pelbagai kegiatan termasuk bertarawih, bertadarus dan menjalankan kerja amal semasa bulan tersebut, masyarakat Islam juga telah diingatkan supaya mematuhi peraturan keselamatan demi mengekang gelombang jangkitan koronavirus seterusnya.



Ini kerana pandemik masih belum berakhir dan risiko penularan baru boleh terjadi jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa dalam usaha memerangi virus tersebut.



Justeru banyak negara termasuk Singapura telah mengeluarkan panduan agar masyarakat Islam mematuhi pengurusan selamat dalam mereka giat menjalani ibadah puasa.



Arab Saudi misalnya melarang khidmat bufet atau majlis berbuka dan sahur beramairamai di restoran atau hotel sepanjang bulan Ramadan.



Sebaliknya, makanan bungkus dengan proses pandu lalu digalakkan.



Permit pula diperlukan untuk mengadakan majlis berbuka di sekitar bandar Makkah termasuk di jalan-jalan rayanya.



Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah menetapkan peraturan ketat bagi pengunjung sempena Ramadan demi menjaga keselamatan semua pihak berikutan ancaman Covid-19.



Ketua Presidensi Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais, menegaskan semua pengunjung perlu melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.



"Selain menjamin keselamatan umum, langkah ini dapat memastikan jumlah pengunjung terkawal bagi mereka mengerjakan ibadah dengan kemudahan dan keselesaan yang mencukupi.



"Ia bertujuan memberikan pengalaman unik kepada Doyof Al-Rahman (tetamu Allah), dengan menggabungkan ibadah dan amalan penjagaan kesihatan.



"Berikutan penularan pandemik berlanjutan, saya menggesa jemaah mendapatkan vaksin Covid-19 bagi memastikan keselamatan mereka dan jemaah lain," katanya.



Jemaah juga tidak dibenarkan meminum air zamzam dari mesin pembahagi air, sebaliknya pihak masjid akan menyediakan 200,000 botol air zamzam setiap hari.



Mereka yang ingin berbuka puasa di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi dibenarkan membawa air serta kurma untuk makanan peribadi saja dan dilarang sama sekali berkongsi atau mengagihkan makanan kepada yang lain.



Tambah Sheikh Abdul Rahman, tiada sesiapa pun dibenarkan membawa masuk makanan ke kawasan masjid mahupun laman di sekitarnya.



"Sebaliknya, pihak masjid akan menyediakan juadah untuk berbuka puasa dan mengagihkannya kepada setiap pengunjung secara individu," ujarnya.



Amiriah Arab Bersatu (UAE) juga telah menasihatkan orang ramai untuk mengelak mengadakan berbuka beramai-ramai semasa Ramadan, mengehadkan lawatan keluarga dan menjauhi kegiatan mengagih serta bertukar makanan antara rumah dan keluarga.



Perhimpunan besar perlu dielakkan dan hanya mereka yang tinggal dalam rumah yang sama boleh berbuka bersama, kata Penguasa Pengurusan Kecemasan Krisis dan Bencana Nasional UAE (NCEMA).



Penguasa badan tersebut juga mengingatkan orang ramai untuk tidak mendirikan khemah iftar di tempat awam untuk berbuka beramai-ramai.



Menyedia dan mengagihkan makanan berbuka di depan rumah dan masjid juga dilarang.



Mereka yang mahu berbuat demikian boleh melakukannya menerusi badan amal.



Derma dan sumbangan zakat pula perlu dilakukan secara elektronik manakala mendirikan khemah derma tidak dibenarkan.



Menerusi kiriman tweet-nya, NCEMA menambah masjid akan ditutup sejurus selepas waktu solat semasa Ramadan dengan kawasan solat wanita dan kemudahan perkhidmatan dan kesihatan akan kekal ditutup.



Ia juga menyatakan solat tarawih boleh dilaksanakan dengan syarat peraturan keselamatan Covid-19 dipatuhi.



Di Indonesia pula, pihak berkuasa negara itu telah melarang perjalanan pulang ke kampung beramai-ramai yang sering dilakukan setiap tahun di akhir Ramadan untuk menyambut Lebaran melibatkan jutaan penduduk bandar negara itu.



"Tidak akan ada Mudik dalam 2021," kata Menteri Budaya Indonesia Muhadjir Effendy dalam satu kenyataan.



Mudik merujuk kepada perjalanan beramai-ramai merentasi negeri.



Bagaimanapun Encik Muhadjir berkata mereka yang perlu melakukan perjalanan penting mungkin diberi pengecualian.



Tahun lalu Indonesia melarang perjalanan domestik melalui laut dan udara serta mengerahkan sekatan jalan raya untuk mengekang perjalanan beramai-ramai itu demi mengelak bencana kesihatan.



Aljazeera pula melaporkan Presiden Turkey Recep Tayyip Erdogan telah mengarahkan larangan berbuka dan bersahur beramai-ramai di khemah-khemah dan di tempat-tempat lain semasa Ramadan, seperti tahun lalu.



Di Britain, tidak seperti Ramadan 2020, masjid tidak akan ditutup sebaliknya dibenarkan dibuka namun untuk bilangan jemaah yang terhad dan khidmat yang lebih pendek.



Bahkan, seperti Singapura, jemaah di negara itu perlu mendaftar untuk solat di masjid termasuk tarawih.



Kanak-kanak di bawah 10 tahun, individu dewasa lebih 60 tahun dan mereka yang berisiko tinggi mendapat Covid-19 tidak dibenarkan ke masjid.



Jemaah juga mesti membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup.



Tandas dan bilik air pula ditutup dan jemaah harus mematuhi jarak selamat selain tidak dibenarkan berpelukan dan berjabat tangan.



Mereka yang tidak dapat menempah solat tarawih boleh melakukannya di rumah, seperti tahun lalu.



Sahur dan iftar juga perlu dilakukan di rumah dan tidak di masjid.



Dan seperti negara-negara lain, iftar beramai-ramai sama ada di dalam atau di luar dilarang.



Majlis Muslim Britain juga akan menyarankan agar beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan tidak akan dibenarkan. - Agensi berita.




"Selain menjamin keselamatan umum, langkah ini dapat memastikan jumlah pengunjung terkawal bagi mereka mengerjakan ibadah dengan kemudahan dan keselesaan yang mencukupi.

Ia bertujuan memberikan pengalaman unik kepada Doyof Al-Rahman (tetamu Allah), dengan menggabungkan ibadah dan amalan penjagaan kesihatan.

Berikutan penularan pandemik berlanjutan, saya menggesa jemaah mendapatkan vaksin Covid-19 bagi memastikan keselamatan mereka dan jemaah lain."

- Ketua Presidensi Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais.




ANTARA LANGKAH 



  • ARAB SAUDI

Larang khidmat bufet atau majlis berbuka dan sahur beramai-ramai di restoran atau hotel



Makanan bungkus dengan proses pandu lalu digalakkan



  • MASJIDIL HARAM DAN MASJID NABAWI

Lengkap suntikan vaksin Covid-19 sebelum dibenar masuk



Tidak dibenar minum air zamzam dari mesin pembahagi air



Masjid akan sedia 200,000 botol air zamzam setiap hari



Boleh bawa air dan kurma untuk makanan peribadi



Dilarang kongsi atau agih makanan kepada orang lain



Tidak dibenar bawa masuk makanan ke kawasan masjid dan laman sekitar



Pihak masjid akan sedia juadah berbuka puasa dan agih kepada setiap pengunjung secara individ




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >