Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Bekalan senjata jadi proksi negara dunia dalam perang Ukraine

Mar 28, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Pencerobohan Russia ke atas Ukraine bermula pada 24 Februari lalu, dengan serangan dari darat, laut dan udara.



Ini merupakan serangan tentera terbesar oleh sebuah negara terhadap sebuah negara lain di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.



Russia beralih daripada serangan strategik terhadap sasaran tentera menggunakan peluru berpandu kepada serangan di darat dan kini mengepung bandar besar temasuk membedil bandar itu dengan meriam roket dan senjata letupan, kadangkala hingga terkena bangunan perumahan dan prasarana awam.



Moscow bagaimanapun menafikan menyasarkan orang awam dan menyifatkan tindakannya di Ukraine sebagai operasi tentera khas untuk melumpuhkan keupayaan ketenteraan negara jirannya itu dan menangkap mereka yang dianggapnya sebagai nasionalis berbahaya.



Ukraine dan sekutu Baratnya menyifatkan tindakan itu sebagai pencerobohan tanpa provokasi dan telah meragut nyawa ratusan orang awam.



Amerika Syarikat dan negara Eropah juga telah membekalkan Ukraine dengan pelbagai senjata termasuk senjata canggih yang boleh memusnahkan kenderaan berperisai.



Ukraine juga telah membuktikan keupayaan mereka menggunakan senjata yang dibekalkan Britain dan senjata antikereta kebal yang diperbuat di Amerika untuk menentang tentera Russia yang lebih besar.



Namun dalam ucapannya kepada Kongres Amerika baru-baru ini, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, meminta bantuan tambahan sedang tentera Russia terus menyerang dan berusaha mengepung bandar utama negara itu.



Pegawai pemerintah Amerika dan Eropah juga mahu menghantar lebih banyak peralatan ke Ukraine yang boleh mudah digunakan pasukan kecil dengan teknologi yang boleh mengatasi pertahanan atau memanfaatkan kelemahan Russia, berbanding senjata seperti kereta kebal dan pesawat perang yang memerlukan sokongan logistik yang banyak.



Bercakap dengan media baru-baru ini, seorang pegawai pertahanan kanan berkata Pentagon akan memikirkan bagaimana untuk menambah semula bekalannya.



Tambahnya, tumpuan mereka kini adalah untuk memastikan Ukraine mendapat bekalan yang diperlukan itu dengan cepat.



Tentera Ukraine memerlukan senjata pertahanan yang mudah dibawa dan digunakan untuk terus menentang Russia.



Menurut pakar tentera, Ukraine akan berjaya jika mereka beroperasi dalam kumpulan kecil dan menyerang tentera Russia yang tersusun sebelum beredar untuk melancarkan serbuan lain kemudian.



Sebagai sebahagian daripada pakej bekalan bagi Ukraine itu, pentadbiran Biden akan antara lain menyediakan dron 'Switchblade' yang boleh dibawa dalam beg galas, menurut pegawai yang diberi taklimat tentang rancangan itu.



Pegawai tentera juga menggelarnya sebagai dron 'kamikaze' kerana ia boleh diterbangkan terus ke arah kereta kebal atau sekumpulan askar.



Dron itu musnah apabila terkena sasaran dan meletup, seperti juruterbang Jepun yang membunuh diri semasa Perang Dunia Kedua.



Mantan timbalan penolong setiausaha pertahanan Amerika, Encik Mick Mulroy, berkata:



"Ini direka bagi Komand Operasi Khas Amerika dan inilah jenis sistem senjata yang mempunyai kesan segera di medan perang."



Dron yang lebih besar dan dilengkapi dengan senjata seperti dron 'Predator' atau 'Reaper' yang diperbuat di Amerika lebih sukar untuk diterbangkan dan boleh mudah dimusnahkan oleh pesawat perang Russia.



Namun, pakar berkata dron 'kamikaze' yang lebih kecil dan mudah dibawa itu merupakan cara jimat kos untuk memusnahkan konvoi berperisai Russia.



Sementara itu, Amerika dan sekutunya juga sedang meningkatkan usaha menghantar bekalan senjata pertahanan kepada Ukraine dan membantu mereka berkomunikasi dengan lebih berkesan.



Selain sistem antipesawat seperti Stinger, Ukraine juga meminta sistem pertahanan udara mudah alih yang boleh menyerang pesawat yang terbang lebih tinggi, seperti pesawat pengebom yang menyerang kawasan latihan dekat sempadan Poland minggu lalu.



Pakej bekalan senjata baru dari Amerika itu juga akan termasuk senjata kecil seperti senapang, pistol, mesingan dan pelancar grenad.



Menurut pakar, askar memerlukan masa beberapa jam sahaja untuk belajar bagaimana untuk menggunakan pelancar peluru antikereta kebal Javelin yang diperbuat di Amerika dan peluru antikereta kebal NLAW Britain.



Bahkan, senjata ini terbukti berkesan di tangan tentera Ukraine, tambah mereka. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >