Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Dunia0

Beratus penerbangan dibatal di Jepun angkara taufan kencang

Sejuta penduduk dinasihat pindah, sekurang-kurangnya 10 maut
Sep 06, 2018 | 05:30 AM

TOKYO: Jepun mengeluarkan nasihat pindah bagi lebih sejuta orang dan membatalkan beratus-ratus penerbangan apabila taufan paling kencang yang melanda negara itu dalam tempoh 25 tahun membadai kawasan barat kelmarin, membunuh sekurang-kurangnya 10 orang.

Jebi ialah sejenis taufan kencang dan ia menyusuli hujan, tanah runtuh, banjir dan haba paling teruk yang membunuh beratus-ratus orang di Jepun pada musim panas ini.

Rakaman televisyen menunjukkan gelombang ombak memukul pantai, kepingan logam jatuh di tempat letak kereta, kereta terbalik, dan berpuluh-puluh kereta terpakai terbakar di kawasan pameran.

Ketika taufan itu sampai ke darat, seorang lelaki berusia 71 tahun ditemui mati di bawah gudang yang runtuh, mungkin disebabkan angin kuat dan seorang lelaki berusia 70-an tahun jatuh dari bumbung rumah dan meninggal dunia, lapor televisyen awam NHK.

Ia berkata sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 348 cedera, namun agensi berita AFP melaporkan sekurang-kurangnya 10 orang maut.

Air pasang di beberapa kawasan berada pada paras tertinggi sejak satu taufan pada 1961, ujar NHK dengan banjir menenggelam sebuah landasan di lapangan terbang Kansai berhampiran Osaka, memaksa penutupan lapangan terbang itu dan kira-kira 3,000 pelancong terkandas.

"Ribut ini kencang. Saya harap saya dapat pulang ke rumah," seorang wanita dari Hongkong memberitahu NHK di lapangan terbang.

Syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) berkata ia telah membatalkan empat penerbangan: SQ622 dan SQ618 dari Singapura ke Osaka; dan SQ623 dan SQ619 dari Osaka ke Singapura.

Lapangan terbang itu tidak dijangka dibuka semula semalam, lapor Kyodo News kelmarin malam.

Angin kencang dan air pasang tinggi membuat sebuah kapal tangki seberat 2,591 tan merempuh sebatang jambatan yang menghubungkan lapangan terbang, yang dibina di atas pulau buatan manusia di sebuah teluk, ke tanah besar.

Jambatan itu rosak dan ditutup tetapi kapal tangki tersebut kosong dan tiada kru cedera, kata pengawal pantai.

Taufan itu tiba di darat di Shikoku, pulau utama paling kecil, sekitar tengah hari.

Ia merentasi bahagian barat pulau utama paling besar, Honshu, berhampiran bandar Kobe, beberapa jam kemudian.

Perdana Menteri Shinzo Abe sebelum ini menggesa orang ramai supaya berpindah awal dan memerintahkan kerajaannya mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi penduduk.

"Ini (paling kencang) sejak 1993," kata ketua ramalan cuaca agensi itu, Encik Ryuta Kurora.

Ketika taufan itu menghampiri, Encik Abe mengadakan satu mesyuarat respons bencana dan membatalkan perjalanan ke barat Jepun.

Nasihat pindah dikeluarkan bagi lebih satu juta orang apabila angin dan hujan meningkat, kata Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana.

Tiupan angin kencang hingga 208 kilometer sejam (ksj) dicatatkan di satu bahagian Shikoku, dengan ramalan tiupan paling kencang 216 ksj.

Penduduk di Kobe melaporkan di Twitter bahawa angin menggegarkan bangunan apartmen mereka dan menumbangkan dahan-dahan pokok.

Lebih 700 penerbangan dibatalkan, selain perkhidmatan feri dan kereta api, kata NHK.

Sekitar 177,000 pelanggan di barat Jepun kehilangan bekalan kuasa, kata Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri. Toyota Motor Corp berkata ia membatalkan syif malam di kira-kira 14 loji. - Reuters, AFP.


"Ribut ini kencang. Saya harap saya dapat pulang ke rumah."
- seorang wanita dari Hongkong yang terkandas di lapangan terbang Kansai ekoran penutupan prasarana itu ekoran taufan Jebi.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map