DENPASAR: Warga asing di pulau peranginan Indonesia, Bali, telah diberi amaran mereka akan diusir jika didapati melanggar undang-undang kesihatan Covid-19 sewaktu sambutan Tahun Baru.
Amaran tegas itu diberi pihak berkuasa Bali pada Khamis (30 Disember).
"Bersedia untuk diusir," kata ketua pejabat imigresen Bali, Encik Jamaruli Manihuruk, dalam satu wawancara bersama agensi berita AFP.
Beliau memberi amaran bahawa undang-undang kesihatan harus diperhatikan apabila Indonesia berusaha menghalang penularan varian Omicron yang pesat melanda dunia.
Gabenor Bali telah mengharamkan karnival, bunga api dan perhimpunan lebih 50 orang sepanjang tempoh Krismas dan Tahun Baru.
Pusat beli-belah, restoran dan kafe harus ditutup menjelang 10 malam dan beroperasi pada kapasiti 75 peratus.
Keindahan pemandangan tropikal, pantai dan lokasi keramaian Bali menjadikannya tempat permainan bagi ramai pelancong Australia dan New Zealand serta mereka daripada kota berdekatan seperti Singapura.
Hampir 200 pelancong diusir dari Bali pada 2021, kata Encik Jamaruli, dengan tujuh orang dihalau kerana melanggar protokol Covid-19.
Pada Julai, tiga pelancong asing dari Amerika Syarikat, Ireland dan Russia juga dihantar pulang setelah mereka ditemui tidak menggunakan pelitup di khalayak awam dalam satu serbuan.
Pada Mei, seorang pempengaruh sosial Russia dan YouTuber Taiwan yang menetap di Amerika diusir selepas memuatnaikkan video pempengaruh Russia itu bersiar-siar di Bali dengan pelitup bercat pada wajahnya.
Video itu menimbulkan kemarahan warganet Indonesia yang mendesak kedua-duanya meminta maaf dan diusir dari Bali.
Indonesia menerima tamparan hebat pandemik koronavirus.
Sehingga Rabu, ia melaporkan lebih 4.2 juta kes Covid-19 yang disahkan serta lebih 144,000 kematian.
Bali sahaja melaporkan lebih 110,000 kes yang disahkan dan lebih 4,000 kematian.
Dengan kadar vaksinasi agak rendah, Indonesia kekal terdedah pada penularan wabak baru khususnya yang melibatkan varian mudah menjangkiti, Omicron, yang mencetus rekod bilangan kes di Eropah.
Terdapat 68 kes Omicron yang disahkan di Indonesia sejauh ini, mengikut data pemerintah. - AFP