Subuh
5:38
Syuruk
6:55
Zuhur
12:59
Asar
4:00
Maghrib
7:02
Isyak
8:10
Dunia

TIMUR TENGAH

Bersihkan 25 ribu permaidani, 291 tan sampah dalam 9 minit

Jun 18, 2018 | 05:30 AM

MAKKAH: Pentadbiran Pembersihan dan Pensterilan Permaidani (CCSA) di Masjidilharam mencatat masa rekod baru sembilan minit dan 47 saat dalam membersihkan mataf, atau kawasan tawaf sekeliling Kaabah, selepas solat maghrib pada malam ke-27 Ramadan Selasa lalu, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Ini disahkan oleh pengarah pentadbiran am bagi ehwal perkhidmatan masjid di Makkah itu, Encik Muhammad bin Musslih Al-Jabri.

Ketangkasan para pekerja terlibat boleh dikagumi menurut media tempatan kerana lebih dua juta jemaah membanjiri Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabi di Madinah pada malam itu.

"Dua masjid suci itu dan halamannya penuh melimpah dengan jemaah yang datang untuk solat isyak dan tarawih serta qiyamullail," lapor akhbar Al Arabiya.

Ini kerana kepercayaan meluas umat Islam bahawa malam ke-27 Ramadan mungkin merupakan malam istimewa lailatulqadar.

Menurut SPA, pihak berkuasa Arab Saudi memastikan "pengaturan keselamatan terperinci dan sempurna bagi memastikan jemaah dapat menghabiskan malam itu dalam suasana sangat rohaniah dan tenang"

Encik Al-Jabri berkata pada malam itu, 291 tan sampah dikumpulkan dan diangkut dari dalam Masjidilharam dan medan di sekelilingnya.

Rancangan pembersihan itu memberi tumpuan pada kerja pembersihan sistematik di lokasi selepas solat maghrib.

Ini termasuk pembersihan mataf, permaidani masjid dan seluruh medan di luar, menggiatkan kerja memungut sampah sepanjang malam dan mengenakkan bau di kawasan tersebut dengan semburan minyak wangi secara berterusan di pintu masuk utama, laluan pejalan kaki dan kawasan solat.

Bilangan pekerja yang terlibat dalam operasi itu melebihi 300 orang, termasuk 100 pekerja bagi menyediakan iftar kepada jemaah. Namun, secara keseluruhan seramai 3,000 pekerja lelaki dan wanita terlibat. Mereka bekerja sepanjang masa dalam beberapa syif.

"Kira-kira 25,000 permaidani, 1,500 kontena sampah besar dan 1,500 kontena sampah kecil dibersihkan.

"Tugas pentadbiran ini terutamanya ialah menyelia dan memastikan pelaksanaan rancangan pembersihan dan layanan Masjidilharam. Peranannya termasuk juga penyeliaaan pembentangan kain saprah bagi iftar di dalam Masjidilharam, penyeliaan kerja pembersihan dan penyelenggaraan kemudahan awam luaran milik masjid."

Sementara itu di Madinah, pasukan keselamatan Masjid Nabi menemukan semula kira-kira 1,000 kanak-kanak tersesat di masjid itu dengan ibu bapa mereka sepanjang Ramadan yang baru berlalu.

Pasukan yang bekerja sepanjang 24 jam itu turut menyelamatkan 390 lelaki dewasa dan 1,090 wanita dewasa yang tersesat tidak tahu ke mana harus dituju atau cara balik ke tempat penginapan mereka selepas solat.

Pusat menjaga kanak-kanak tersesat di masjid itu memberikan gelang tangan percuma kepada anak-anak semasa memasuki masjid. Ia tertera nama dan nombor telefon ibu bapa mereka agar mereka mudah dihubungi jika keluarga itu terpisah, lapor akhbar Al-Hayat.

Brigadier Abdul Rahman Bin Abdullah Al-Mishhan, komander angkatan tentera, berkata pusat itu dilengkapi dengan permainan, katil dan kemudahan lain bagi keselesaan kanak-kanak tersebut.

"Ada seorang ahli psikiatri dan wanita berpengalaman di pusat itu untuk merawat kanak-kanak yang mengalami trauma selepas terpisah daripada ibu bapa mereka," kata beliau.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian