Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Biden bentang pakej AS$1.9 trilion rangsang ekonomi, tangani Covid-19

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Biden bentang pakej AS$1.9 trilion rangsang ekonomi, tangani Covid-19

Jan 16, 2021 | 05:30 AM

WILMINGTON: Presiden Dipilih Amerika Syarikat Joe Biden membentangkan saranan pakej rangsangan bernilai AS$1.9 trilion ($2.5 trilion) kelmarin, mengatakan pelaburan berani diperlukan untuk membangkitkan ekonomi dan mempercepat pengagihan vaksin bagi menentang koronavirus.

Encik Biden berkempen tahun lalu dengan janji untuk menangani pandemik itu secara lebih serius berbanding Presiden Donald Trump.

Pakej itu bertujuan melaksanakan ikrar tersebut dengan memperuntuk banyak sumber bagi respons Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Dalam ucapannya di Delaware, Encik Biden berkata ramai yang telah menderita dek krisis itu, dan tindakan segera perlu diambil.

Pakej bantuan itu termasuk AS$415 bilion untuk menyokong respons kepada virus itu dan pelancaran vaksin Covid-19, sekitar AS$1 trilion dalam bantuan langsung kepada isi rumah, dan kira-kira AS$440 bilion bagi masyarakat dan perniagaan kecil terutamanya yang terjejas teruk oleh pandemik itu.

Rancangan Encik Biden bertujuan memulakan jawatannya dengan rang undang-undang besar bagi menggerakkan agenda jangka pendeknya dengan cepat iaitu membantu ekonomi dan menangani virus yang telah meragut lebih 385,000 nyawa di Amerika Syarikat hingga kelmarin.

Ia juga satu perbezaan ketara berbanding Encik Trump, yang meluangkan bulan-bulan akhir pentadbirannya dengan melemahkan kemenangan pilihan raya Encik Biden daripada memberi tumpuan kepada bantuan koronavirus tambahan.

Namun Encik Trump, yang akan meninggalkan pejabat Rabu depan, telah menyokong bayaran AS$2,000 kepada warga Amerika.

Ramai Republikan di Kongres menunjukkan keberatan menyokong bayaran setinggi itu.

Encik Biden akan menghadapi rintangan serupa dengan saranannya, yang menyusuli pakej bantuan bernilai AS$900 bilion ($1.2 trilion) yang Kongres luluskan pada Disember.

Namun, beliau mungkin mendapatinya lebih mudah memandangkan rakan Demokratnya akan mengawal kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat.

Encik Chuck Schumer, yang bakal memimpin majoriti Demokrat yang tipis di Senat, dan Speaker Nancy Pelosi berkata kelmarin bahawa pakej Encik Biden ialah "pendekatan betul" dan berikrar untuk mula mengusahakan perundangan itu.

Presiden yang bakal mengambil alih itu akan berusaha meluluskan perundangan tersebut walaupun sedang Encik Trump berhadapan dengan perbicaraan pendakwaan.

Encik Trump merupakan presiden pertama dalam sejarah Amerika Syarikat untuk didakwa dua kali.

Seramai 10 daripada rakan Republikannya menyertai Demokrat untuk mendakwa beliau kerana menghasut pemberontakan di Capitol minggu lalu.

Prosiding pendakwaan itu mungkin bertembung dengan permulaan penggal Encik Biden memegang jawatan, dan beliau telah menggalakkan penggubal undang-undang untuk menangani perbicaraan itu sambil meneruskan agendanya. - Reuters.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3