WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata kelmarin bahawa beliau yakin China akan berusaha membuat perjanjian dengan Taleban setelah kumpulan tegar itu merampas kuasa di Afghanistan pada 15 Ogos lalu.
Apabila ditanya adakah beliau khuatir China akan membiayai kumpulan tersebut, yang disekat berdasarkan undang-undang Amerika, Encik Biden berkata kepada wartawan: "China mempunyai masalah nyata dengan Taleban. Oleh itu, mereka akan berusaha membuat beberapa perjanjian dengan Taleban, saya pasti. Seperti Pakistan, Russia, Iran. Mereka semua berusaha untuk memikirkan apa yang perlu mereka buat sekarang."
Amerika dan Kumpulan Tujuh sekutunya telah sepakat untuk menyelaras tindak balas mereka terhadap Taleban, dengan Washington telah menyekat akses Taleban kepada rizab Afghanistan, yang kebanyakannya disimpan oleh Rizab Persekutuan New York, untuk memastikan mereka menepati janji mereka untuk menghormati hak wanita dan undang-undang antarabangsa.
Tetapi pakar berkata sebahagian besar pengaruh ekonomi itu akan hilang jika China, Russia atau negara lain memberikan dana kepada Taleban.
Italy, presiden Kumpulan 20 (G-20) sekarang - yang turut merangkumi China dan Russia - telah berusaha untuk mengadakan pertemuan maya G-20 mengenai Afghanistan, tetapi belum ada tarikh yang diumumkan, yang menunjukkan perselisihan di kalangan angota kumpulan itu.
Menteri Luar China Wang Yi memberitahu Setiausaha Negara Amerika Antony Blinken dalam satu panggilan telefon pada 29 Ogos lalu bahawa masyarakat antarabangsa harus berhubungan dengan Taleban dan "membimbing mereka" secara positif. - Reuters.