Topic followed successfully
Go to BHkuBiden gesa junta Myanmar lepas kuasa, bebas tahanan
Biden gesa junta Myanmar lepas kuasa, bebas tahanan
Biden gesa junta Myanmar lepas kuasa, bebas tahanan

WASHINGTON: Junta tentera Myanmar harus melepaskan kuasa dan membebaskan pegawai dan aktivis yang ditahan di dalam rampasan kuasa, tegas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dalam ucapan dasar luar pertama beliau kelmarin.
Encik Biden berkata Amerika telah bekerjasama dengan sekutunya untuk menangani perampasan kuasa yang berlaku pada hari Isnin, di mana pemenang Hadiah Nobel Cik Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin dan orang awam telah ditahan.
"Di dalam sebuah demokrasi, kuasa tidak harus mendahului kehendak rakyat ataupun usaha untuk menghapuskan hasil pilihan raya yang sah," kata Encik Biden.
"Tentera Myanmar harus melepaskan kuasa yang dirampas dan membebaskan para pegawai, penyokong dan aktivis yang mereka tahan, menghapuskan sekatan telekomunikasi dan menahan dari melakukan keganasan."
Panglima tentera Min Aung Hlaing telah merampas kuasa pada hari Isnin kelmarin. Beliau mengatakan terdapat penyelewengan di dalam pilihan raya yang diadakan November lalu, di mana parti Cik Suu Kyi telah menang besar. Suruhanjaya pilihan raya mengisytiharkan undian itu adalah adil.
Sebuah kenyataan Rumah Putih yang dibuat kemudian menyatakan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Encik Biden, Encik Jake Sullivan, telah menghubungi beberapa duta besar negara-negara Asean pada lewat hari Rabu kelmarin.
"Encik Sullivan telah menyampaikan kebimbangan Presiden Biden mengenai rampasan kuasa di Burma dan menyatakan penghargaan kepada negara-negara Asean di atas perhatian yang diambil kepada krisis ini, dan menyatakan kepentingan sokongan serantau untuk pemulihan demokrasi Burma," jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Encik Sullivan juga menekankan komitmen pentadbiran Encik Biden terhadap meluaskan penglibatan Amerika dengan negara-negara Asean termasuk memerangi perubahan iklim, menangani pandemik Covid-19, mempromosi pemulihan ekonomi dan meluaskan keselamatan maritim.
Encik Biden mengancam untuk mengenakan sekatan ke atas Myanmar berikutan rampasan kuasa itu dan berkata masyarakat antarabangsa harus bekerjasama dalam bertegas dengan junta tentera itu supaya melepaskan kuasa.
Beliau juga memberi amaran bahawa Amerika akan "mengambil maklum terhadap mereka yang berdiri bersama rakyat Burma pada saat sukar ini."
Encik Sullivan memberitahu di satu taklimat Rumah Putih kelmarin bahawa pentadbiran Amerika sedang mempertimbangkan sebuah perintah eksekutif sebagai tindak balas terhadap rampasan kuasa itu dan sekatan ke atas individu-individu dan entiti yang dikawal tentera.

