WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, kelmarin melarang warga Amerika melabur dalam puluhan syarikat China dalam sektor pertahanan atau sektor di mana teknologi pengawasannya membantu dalam pelanggaran hak asasi manusia yang serius.
Usaha terbaru beliau itu memperluas senarai hitam yang dilakukan pentadbiran Presiden Donald Trump tahun lalu.
Langkah itu bertujuan memastikan "pelaburan Amerika tidak menyokong syarikat China yang menjejas keselamatan atau nilai Amerika Syarikat dan sekutu kami", kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
Perintah itu mencegah pelaburan Amerika untuk menyokong sektor pertahanan China, sambil membolehkan pemerintah Amerika untuk menangani dengan lebih baik "ancaman firma teknologi pengawasan China yang menyumbang - baik di dalam dan di luar China - kepada pengawasan masyarakat minoriti agama atau etnik atau dengan cara lain yang membolehkan penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia yang serius ", tambahnya.
Perintah eksekutif yang ditandatangani Encik Biden berkuat kuasa pada 2 Ogos, dan memberi pelabur Amerika tempoh setahun untuk melepaskan saham mereka dalam senarai hitam itu, lapor The Straits Times.
Sebanyak 59 syarikat berada dalam senarai yang dikemas kini, naik daripada 44 syarikat yang sebelumnya disenarai hitam menjelang penghujung kuasa Encik Trump pada Januari lalu.
Syarikat yang disasarkan termasuk syarikat teknologi gergasi Huawei, serta banyak syarikat milik negara dan anak syarikatnya dalam aeroangkasa, pembinaan, elektronik, pembinaan kapal dan industri lain, termasuk syarikat peralatan pengawasan video Hikvision, yang dikaitkan dengan penindasan umat Islam Uighur di Xinjiang.
Pentadbiran Biden juga mengalihkan pengurusan senarai hitam daripada Jabatan Pertahanan ke Jabatan Perbendaharaan, yang mempunyai lebih banyak pengalaman dalam menjalankan sekatan.
Langkah itu mencerminkan kelanjutan pendekatan tegas ke atas China oleh Encik Biden yang dilakukan Encik Trump sebelum ini, namun dengan ada penyemakan demi mengelak kekeliruan dan mengelak tuntutan undang-undang, kata penganalisis.
"Walaupun terdapat banyak kesinambungan antara pentadbiran Trump dan Biden dalam perkara ini, perintah eksekutif yang diperbaharui ini memberi kejelasan yang diperlukan mengenai entiti apa yang dikenakan larangan," kata zamil kanan New American Security, Encik Martijn Rasser.
"Perintah eksekutif yang disemak itu juga lebih kuat kerana menumpukan larangannya pada syarikat di sektor tertentu dan bukannya hubungan dengan tentera China, hubungan yang boleh mengelirukan," katanya.
Pendekatan pentadbiran Trump untuk mendasarkan senarai hitam pada hubungan ketenteraan membuka kepada cabaran mahkamah dan meletakkan tanggungjawab kepada pemerintah Amerika untuk membuktikan hubungan tersebut, yang memerlukan masa dan sumber dan mungkin perlu mendedahkan maklumat rahsia, katanya kepada The Straits Times.
Contohnya, pembuat telefon bijak China Xiaomi dikeluarkan daripada senarai hitam buat sementara waktu, setelah hakim persekutuan mempersoal alasan di sebalik keputusan Jabatan Pertahanan untuk menambahkannya ke senarai hitam syarikat yang mempunyai hubungan tentera.
Selain itu, perintah yang dikeluarkan pentadbiran Trump tahun lalu juga menimbulkan kekeliruan di Wall Street dengan Bursa Saham New York terus berubah-ubah sama ada ia akan menarik balik penyenaraian China Mobile, China Unicom, dan China Telecom sejajar dengan perintah itu.
Sementara itu, jurucakap kementerian luar China, Encik Wang Weibin, berkata larangan pelaburan itu "sama sekali tidak mengendahkan fakta" dan "tidak hanya merosakkan hak dan kepentingan sah syarikat China bahkan merugikan kepentingan pelabur global termasuk yang ada di Amerika".