Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Biden raih 7 juta undi atasi Trump

Dunia
28
0

Biden raih 7 juta undi atasi Trump

Dec 05, 2020 | 05:30 AM

WASHINGTON: Jurang perbezaan jumlah undi yang diterima calon Parti Demokrat, Encik Joe Biden, adalah lebih tujuh juta mengatasi Presiden Donald Trump, yang merupakan calon Parti Republikan, apabila kiraannya diumumkan kelmarin.

Ini meskipun Encik Trump dan penyokongnya terus mendakwa berlaku penipuan dalam proses pilihan raya yang berlangsung pada 3 Nov lalu.

Sebulan selepas pilihan raya berlangsung, hasil kiraan tempatan di New York menunjukkan Encik Biden meraih jumlah 81,264,673 undi berbanding 74,210,838 yang diperolehi Encik Trump.

Sejumlah 158.4 juta undi telah dikira sejauh ini, menurut data yang dikumpulkan oleh Laporan Politik Cook.

Ini memberi Encik Biden kelebihan 4.4 peratusan mata yang kukuh mengatasi pencabarnya.

Encik Biden telah menarik sokongan 306 undi pemilih untuk kejayaannya di setiap negeri, jauh melepasi 270 yang diperlukan untuk menang jawatan Presiden.

Encik Trump terus mendakwa Parti Demokrat merencana penipuan besar-besaran dalam pengundian ini dan beliau adalah pemenang sebenar, tanpa mengemukakan bukti meyakinkan.

Langkah mengemukakan tuntutan pentadbiran dan kehakiman oleh pasukan kempennya terus gagal dan Encik Biden, yang hampir diperakui di seluruh dunia sebagai Presiden Dipilih, akan mengesahkan kemenangannya oleh Undi Pemilih pada 14 Disember ini.

Encik Biden akan dirasmikan pelantikannya sebagai Presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari ini.

Sementara itu, pentadbiran Encik Trump telah menyaman Facebook kelmarin, dengan menuduh syarikat terbabit mendiskriminasi pekerja warga Amerika Syarikat kerana cenderung kepada pemohon dalam kalangan imigran untuk mengisi ribuan jawatan bergaji tinggi.

Tindakan undang-undang itu membabitkan lebih 2,600 jawatan dengan purata gaji kira-kira AS$156,000 ($208,000) yang ditawarkan dari Januari 2018 hingga September 2019.

"Facebook didakwa terbabit dalam pelanggaran undang-undang secara sengaja dan meluas, dengan mengasingkan jawatan untuk pemegang visa sementara berbanding mempertimbang pekerja warga AS yang layak serta berminat," kata Penolong Peguam Negara, Eric Dreiband.

Encik Dreiband daripada Bahagian Hak Sivil, Jabatan Keadilan Amerika, berkata demikian dalam satu kenyataan yang menggariskan dakwaan jabatan itu.

Jabatan itu mendakwa, syarikat gergasi Internet berkenaan menyimpan jawatan untuk pemohon memiliki visa 'pekerja mahir' H1-B atau visa kerja sementara yang lain.

Menurut saman yang difailkan itu lagi, Facebook dituduh 'menyalurkan' pekerjaan kepada pemegang visa dengan mengelak daripada mengiklankan perkara berkenaan dalam laman web kerjayanya.

Facebook turut didakwa hanya menerima permohonan dihantar secara fizikal bagi sesetengah jawatan, atau enggan mempertimbangkan langsung pekerja warga Amerika.

Syarikat berpangkalan di California itu merancang untuk terus bekerjasama dengan jabatan terbabit sejajar kes berkenaan. - AFP

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3