WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, menyambut ulang tahun ke-80 kelmarin, menjadikan beliau presiden pertama dalam sejarah Amerika yang mencapai usia 80 tahun.
Beliau meraikan hari lahirnya dengan makan tengah hari bersama isterinya, Cik Jill, sambutan yang mendapat dorongan tambahan hujung minggu ini dengan perkahwinan cucunya di Rumah Putih, Sabtu lalu.
Dengan Encik Biden merupakan warga tertua yang berkhidmat sebagai presiden, pilihan raya 2024 untuk merebut Rumah Putih mungkin memasuki ruang baru bagi Amerika.
Biarpun demokrasi di Amerika yang berusia hampir 250 tahun kerap meraikan pencapaian golongan belia, berjuta-juta rakyat Amerika - termasuk presiden - kini terus bekerja menjangkau usia persaraan tradisional 65 tahun.
Encik Ronald Reagan berusia 77 tahun ketika beliau meninggalkan Rumah Putih, tetapi Encik Biden akan berusia 86 tahun apabila penggal kedua empat tahunnya berakhir, sekiranya beliau memenanginya.
Pesaing Republikan utamanya, Encik Donald Trump, akan berusia 82 tahun apabila beliau meninggalkan jawatan jika beliau menang pada 2024.
Sebagai sebuah masyarakat, Amerika semakin menua, dan warganya kerap bekerja sehingga akhir hayat.
Penduduk berusia 65 tahun ke atas diunjurkan meningkat hampir dua kali ganda daripada 52 juta pada 2018 kepada 95 juta menjelang 2060.
Menjelang 2026, lebih daripada satu daripada empat lelaki berumur lebih 65 tahun akan masih bekerja, menurut ramalan projek Biro Rujukan Penduduk sebuah badan bukan meraih keuntungan.
Sebahagian rakyat Amerika mempunyai kebimbangan mengenai usia lanjut kededua calon bagi pilihan raya 2024..
Walaupun 71 peratus daripada pihak Demokrat berpendapat Encik Biden masih "tajam dari segi mental dan mampu menangani cabaran," 46 peratus mengatakan beliau mungkin tidak dapat mengatasi cabaran bertanding pada 2024, menurut tinjauan Reuters/Ipsos yang diambil pada 8 dan 9 November.
Seramai 26 peratus pihak Republikan pula berpendapat Encik Trump mungkin tidak mencapai 2024 kerana usianya.
Mengetepikan pegangan politik, 68 peratus orang yang ditinjau berpendapat Encik Biden mungkin tidak akan menghadapi cabaran itu dua tahun dari sekarang, dan 49 peratus mengatakan perkara yang sama tentang Encik Trump.
Menurut tinjauan itu, kira-kira 86 peratus rakyat Amerika berkata mereka percaya bahawa tempoh berkhidmat sebagai presiden sepatutnya berumur 75 tahun atau lebih muda.
Encik Biden sekali-sekala tersasul semasa berbicara dan mempunyai kecenderungan tidak ikut skrip semasa memberi ucapan - perbuatan yang sering diejek pengkritik Republikannya sebagai bukti beliau terlalu tua untuk jawatan itu.
Penyokongnya pula berkata presiden telah mengatasi kegagapan semasa beliau kanak-kanak.
Prospek Encik Biden berkhidmat dalam penggal kedua mendapat rangsangan minggu lalu apabila parti Demokrat mencapai keputusan lebih baik daripada jangkaan dalam pilihan raya kongres dan gabenor penggal pertengahan.
Ditanya mengenai kebimbangan mengenai usia Encik Biden menjelang hari lahirnya yang ke-80, Rumah Putih berkata rekodnya baru-baru ini menunjukkan buktinya.
"Seperti yang dikatakan Encik Biden semasa beliau calon pada 2019, 'anda lihat sahaja'," jawab jurucakap, Encik Andrew Bates.
"Sejak itu, beliau memenangi jumlah undi terbanyak dalam sejarah Amerika, mencapai penciptaan pekerjaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, membuat syarikat besar membayar bahagian mereka yang saksama dalam bentuk cukai, memberi kuasa kepada Medicare untuk merundingkan harga ubat yang lebih rendah, dan menandatangani pembaharuan senjata paling ketara dalam 30 tahun dan pelaburan infrastruktur terbesar sejak 1950-an," kata Encik Bates, menyebutnya "rekod perundangan paling berjaya bagi mana-mana presiden sejak Lyndon Johnson". - Reuters.