Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Biden, Trump bakal berucap jelang ulang tahun serangan Dewan Kongres Amerika

Jan 05, 2022 | 05:30 AM



WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengalami detik 'dua-dalam-satu' esok apabila dua pemimpin politik negara itu saling berucap kepada rakyat.



Presiden Joe Biden dijangka menggunakan ulang tahun pertama serangan segolongan warga ke atas Kongres untuk memberi amaran akan ancaman ke atas demokrasi AS manakala mantan presiden, Encik Donald Trump, pula akan mengapi-apikan teori konspirasinya.



Setahun selepas sekumpulan penyokong Encik Trump merusuh masuk ke Dewan Kongres bagi menghalang penggubal undang-undang daripada mengesahkan kemenangan Encik Biden dalam pilihan raya presiden pada 6 Januari 2021, parut politik masih jelas kelihatan.



Rusuhan yang berlaku genap setahun lalu itu telah mengakibatkan lima kematian dan ratusan yang lain cedera. Sekurang-kurangnya 140 anggota polis cedera dan seorang pula dilaporkan maut dalam kejadian itu.



Encik Biden dan Naib Presiden, Cik Kamala Harris, dilaporkan akan berucap dari dalam bangunan Capitol, yang menjadi medan rusuhan apabila penyokong Encik Trump merempuh barisan kawalan polis dan menguasai dewan tersebut.



Sebagai seorang ahli politik veteran yang keluar dari persaraan untuk menentang kepimpinan autoritarian Encik Trump, Encik Biden sering memberi amaran semasa tahun pertama di Rumah Putih, akan ancaman sedia ada ke atas kebebasan berpolitik yang sehingga kini diambil ringan oleh kebanyakan rakyat Amerika.



Ucapannya - sebahagian daripada satu siri acara yang dinyatakan oleh sekutu utama Encik Biden, Speaker Dewan Kongres dari Parti Demokrat, Cik Nancy Pelosi, sebagai "satu hari yang sukar" - akan meningkatkan lagi tahap amaran ke peringkat lebih tinggi.



Sedang Kongres mengadakan satu acara ibadah sepanjang malam yang dianggap Encik Biden sebagai "peristiwa gelap", Encik Trump pula akan mengadakan satu sidang akhbar dari kediaman mewahnya di Mar-a-Lago, Florida.



Perutusannya mudah dijangkakan. Meskipun tewas dengan lebih tujuh juta undi kepada Encik Biden, dan walaupun tewas berkali-kali di mahkamah serata negara, Encik Trump terus membuat dakwaan bahawa kemenangannya dalam pilihan raya 2020 telah dicuri.



Tuduhannya itu adalah perkara yang paling 'berapi' daripada keseluruhan serangan ke atas Encik Biden dalam banyak hal, daripda isu imigresen kepada Covid-19, kesemuanya apabila dicampurkan seakan menggambarkan kedudukannya untuk cuba kembali berkuasa pada 2024.



Ia merupakan kempen yang disifatkan Profesor Carl Tobias dari Sekolah Undang-Undang Universiti Richmond, sebagai "tidak pernah berlaku dalam sejarah AS".



"Tidak ada bekas presiden yang cuba melakukan pelbagai usaha untuk memburukkan penggantinya dan proses demokrasi," kata Profesor Tobias.



Walaupun teori konspirasi pilihan raya ini sememangnya tidak masuk akal - seorang hakim persekutuan di Pennsylvania memutuskan bahawa kes Encik Trump adalah "dipaksa-paksa" dan "spekulatif" - ia dilihat sebagai satu yang benar oleh jutaan rakyat Amerika.



Tinjauan secara tekal menunjukkan sekitar 70 peratus ahli Republikan fikir Encik Biden telah dilantik secara tidak sah.



Satu undian baru yang dijalankan bersama Washington Post-Universiti Maryland menunjukkan hasilnya adalah 58 peratus.



Bagaimanapun, tinjauan yang sama mendapati, 40 peratus Republikan, berbanding 23 peratus ahli Demokrat, percaya keganasan yang dilakukan ke atas pemerintah adakalanya wajar.



Usaha melawan, yang dianggap Encik Trump - sebagai seorang yang pakar dalam bidang penjenamaan - "Satu Kecurian", dengan sendiri menjadikannya satu ideologi politik, dengan hampir kesemua penggubal undang-undang Republikan cuba sedaya upaya untuk elak mengkritik apa yang berlaku pada 6 Januari 2021 - atau secara aktif mempertahan serangan yang berlaku.



Pengarah Sekolah Pascasiswazah Pengurusan Politik, Universiti George Washington, Dr Lara Brown, berkata, gabungan ahli politik di pinggiran yang mahu mereka diterima baik oleh Encik Trump dan sejumlah besar pengundi yang terpedaya sehingga percaya apa yang diperkatakan, membentuk jumlah yang agak besar.



"Apa yang sangat mengejutkan ialah di mana kita berada sekarang, kesemua ini bukan hanya serangan elit sahaja, tetapi ia diapi-apikan oleh satu gerakan akar umbi," katanya.



Ia datang bukan saja daripada golongan pelampau kanan yang menganjurkan gerakan pada 6 Januari itu.



"Ia mencakupi warga biasa, yang terpengaruh dengan apa yang dijajakan," terangnya lagi. - AFP




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >