Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Biden, Xi dijangka bertemu secara maya

Temuan esok disahkan Rumah Putih, Beijing sedang ketegangan memuncak berhubung isu Taiwan, hak asasi dan perdagangan
Nov 14, 2021 | 05:30 AM



WASHINGTON: Pertemuan yang dinanti-nantikan antara dua pemimpin paling berpengaruh di dunia - Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, dan rakan sejawatannya dari China, Encik Xi Jinping, dijangkakan berlangsung secara maya esok.



Ini disahkan oleh Rumah Putih dan Beijing sedang ketegangan kian memuncak antara kedua-dua pihak berhubung isu Taiwan, hak asasi dan perdagangan.



Hubungan antara dua ekonomi terbesar dunia itu semakin memburuk sejak kebelakangan ini - disebabkan isu Taiwan, wilayah yang menganggap ia sebuah negara berdaulat dan ditadbir secara demokrasi tetapi dituntut China sebagai sebahagian daripada negaranya.



Washington telah berulang kali memberi isyarat akan sokongannya ke atas Taiwan dalam berdepan sikap agresif China, tetapi dalam satu perkembangan mengejut, kedua-dua negara telah mencapai persetujuan dalam isu pemuliharaan iklim semasa Sidang Puncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) di Glasgow, Scotland, baru-baru ini.



"Kedua-dua pemimpin akan membincangkan huraian bagi menguruskan persaingan secara bertanggungjawab" antara kedua-dua negara "serta mencari jalan untuk bekerja bersama-sama di mana kepentingan kita saling sealiran," kata setiausaha akhbar Rumah Putih, Cik Jen Psaki, dalam satu kenyataan kelmarin.



"Sepanjang pertemuan itu, Presiden Biden akan menyatakan secara jelas hasrat Amerika Syarikat dan keutamaan dan secara terang dan bersahaja tentang keprihatinan kami terhadap PRC," kata Cik Psaki, yang merujuk kepada Beijing dengan menggunakan singkatan yang bererti Republik Rakyat China.



Pertemuan secara maya itu akan berlangsung "pada sebelah petang" esok di Washington - bermakna awal pagi Selasa di Beijing, umumnya.



Di China, agensi berita rasmi, Xinhua, mengesahkan pertemuan itu dalam satu laporan berita sebaris.



Encik Biden dan Encik Xi telah berbual dua kali menerusi telefon sejak veteran Demokrat itu memasuki Rumah Putih.



Kedua-duanya juga telah bertemu beberapa kali semasa Encik Biden menjawat jawatan naib presiden di bawah pentadbiran Encik Barack Obama, manakala Encik Xi selaku naib presiden di bawah kepimpinan Encik Hu Jintao.



Encik Biden berharap dapat bertemu Encik Xi semasa sidang Kumpulan 20 Negara (G20) di Rome, Italy, baru-baru ini tetapi pemimpin China itu tidak melangkah ke luar negara sejak bermulanya pandemik Covid-19.



Sebaliknya, beliau bersetuju mengadakan perbincangan secara maya sebelum hujung tahun ini.



Kedua-dua pemimpin telah menghadiri sidang puncak Kumpulan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang dihoskan Perdana Menteri New Zealand, Cik Jacinda Ardern.



"Saya telah memaklumkan beberapa kali, sepanjang 10 bulan lalu, bahawa hubungan dengan China adalah di antara yang paling penting dan sangat rumit yang pernah kami hadapi," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Anthony Blinken, kelmarin.



"Ia mempunyai unsur-unsur berbeza di dalamnya - ada langkah kerjasama, ada semacam persaingan dan selainnya perseteruan dan kami akan menangani ketiga-tiganya serentak."



Cik Psaki memberitahu wartawan: "Presiden tentunya tidak akan berasa terhalang dalam hal-hal yang beliau berasa prihatin."



Beliau berkata "persaingan sengit" dalam hubungan dua hala memerlukan "diplomasi dengan sepenuh tumpuan".



Tambah Cik Psaki, "hasil khusus" tidak mungkin dapat dicapai semasa perbincangan esok.



Washington, bagaimanapun, melihat pertemuan itu sebagai satu jalan "menetapkan syarat, dalam pandangan kami, terhadap persaingan yang sihat."



Presiden Biden sejauh ini mengekalkan pendekatan keras ke atas Beijing seperti yang dilakukan pendahulunya, Encik Donald Trump, dengan kedua-dua pentadbiran melihat kebangkitan China sebagai cabaran terbesar di abad ke-21 ini. -AFP




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >