BRUSSELS: Presiden Joe Biden berkata China tahu akan masa depan ekonominya terikat dengan kuasa Barat, selepas menyuarakan amaran kepada pemimpin China, Encik Xi Jinping bahawa Beijing akan menyesal gara-gara memihak kepada tindakan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
"Saya tidak mengancam tetapi ingin menjelaskan kepadanya - bagi memastikan beliau faham akan akibatnya membantu Russia," katanya tentang pertemuan beliau semalam dengan Encik Xi.
Beliau kemudian memberitahu para wartawan:
"China faham yang masa depan ekonominya bergantung rapat dengan Barat berbanding dengan Russia."
Encik Biden juga menyeru Kumpulan 20 (G20) supaya menyingkirkan Russia dan mengulangi amaran bahawa Encik Vladimir Putin mungkin menggunakan senjata pemusnah besar-besaran dalam perang dengan Ukraine.
Beliau berkata demikian dalam beberapa rundingan puncak kelmarin dengan sekutu-sekutu Amerika Syarikat (AS) di Brussels yang bertujuan untuk mendapatkan sokongan kuat terhadap Kyiv.
Presiden AS itu berkata beliau dan para pemimpin Eropah juga sedang mewujudkan strategi bagi mengelakkan krisis kebuluran global ekoran pencerobohan Russia itu dan gangguan terhadap pertanian.
Encik Biden juga berkata AS dan sekutu-sekutunya merancang untuk mencari kaedah baru bagi menangani pelanggaran sekatan ke atas Russia.
Semalam, Encik Biden dijadual mengumumkan suatu inisiatif dengan Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, bagi meningkatkan bekalan tenaga Eropah dengan gas asli dari Amerika.
Namun beliau sedar bahawa langkah itu mungkin tidak meninggalkan kesan segera dalam masa terdekat.
Encik Biden dan para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) kelmarin "telah membincangkan tentang kerjasama EU-AS bagi mengurangkan penggantungan terhadap bekalan minyak Russia," menurut satu kenyataan Rumah Putih. - Agensi berita.