Britain benarkan pelajar antarabangsa tinggal lebih lama untuk cari kerja

LONDON - Pelajar antarabangsa kini boleh terus menetap di Britain untuk mencari peluang pekerjaan sehingga dua tahun selepas mereka menamatkan pengajian. Langkah baru itu diumumkan oleh kerajaan Britain pada Rabu (11 September).

Ia merupakan tempoh lebih lama berbanding had empat bulan yang ditetapkan oleh mantan perdana menteri Theresa May ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Ehwal Dalam Negeri.

"Pelajar antarabangsa menyumbang kepada negara kita, serta universiti (di Britain), melalui budaya (mereka yang berlainan) dan (dari segi) ekonomi. 

“Kehadiran mereka memberi manfaat kepada Britain," kata Setiausaha Pendidikan, Encik Gavin Williamson, dalam satu kenyataan.

"Universiti kami berusaha menjadi institusi yang antarabangsa lagi bersifat terbuka.

"Justeru, dengan mengadakan pilihan ini kepada pelajar universiti, ia bakal memastikan sektor pendidikan peringkat tinggi kami akan terus menarik bakat terbaik dari seluruh dunia," kata Encik Williamson.

Pemerintah berkata pilihan baru itu, yang dikhaskan untuk pelajar yang sudah menamatkan pelajaran mereka, akan membolehkan pelajar bekerja, atau mencari peluang pekerjaan, tidak kira pada apa peringkat kemahiran. 

Mereka kemudian boleh menukar visa mereka kepada visa pekerja yang mahir jika mereka ditawar pekerjaan yang mereka inginkan.

Tiada had diletakkan bagi jumlah pelajar yang boleh memohon untuk pilihan ini, katanya. 

Menurut laporan Reuters, terdapat kira-kira 450,000 pelajar antarabangsa setahun belajar di Britain.

Pilihan ini disasarkan bagi mereka yang memulakan kursus di peringkat sarjana muda atau lebih tinggi dari 2020, dalam mana-mana khursus di "universiti UK atau penyedia pendidikan tinggi yang dipercayai, yang mempunyai rekod yang terbukti (baik) dalam menegakkan pemeriksaan imigresen". -Agensi berita.