Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

E-MEL DARI KUALA LUMPUR

Buku dedah beliau pada kecaman... namun Dr M memang bersedia

Dec 18, 2021 | 05:30 AM



SUARA lantang mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi tumpuan hangat minggu ini.



Hampir setiap hari, cebisan pandangan kontroversial beliau yang ditukil daripada buku terbarunya Capturing Hope: The Struggle Continues For A New Malaysia, mencetuskan isu baru.



Antaranya ialah pandangan beliau yang menyifatkan amalan makan menggunakan 'chopsticks' dalam masyarakat Cina mencerminkan masalah proses asimilasi kaum Cina di Malaysia.



Ulasan beliau di majlis pelancaran buku itu minggu lalu, mendapat kecaman hebat di media sosial.



Ramai netizen berpendapat hujah Tun Dr Mahathir bertentangan dengan budaya kepelbagaian kaum di Malaysia.



Yang terbaru dan mungkin bakal menimbulkan tengkarah lebih serius ialah gesaan beliau supaya peranan Raja-raja Melayu dalam sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dibincang dan dikaji semula.



"Malaysia adalah sebuah negara Raja Berperlembagaan dan ia termaktub dalam Perlembagaan. Perlembagaan juga jelas menunjukkan peranan seorang Raja, peranan kepimpinan politik dan juga peranan rakyat. Semua peranan dan tanggungjawab ini jelas termaktub dalam Perlembagaan.



"Sudah tiba masanya kita menganjurkan satu perbincangan secara meluas (national conversation) tentang sistem Raja Berperlembagan serta peranan yang sesuai dan terhad untuk Raja-Raja," kata Tun Dr Mahathir ketika membincangkan Dilema Melayu Baru dalam bukunya.



Beliau berpendapat Raja-Raja Melayu tidak seharusnya turut campur tangan dalam urusan politik negara.



Mereka juga tidak harus terlibat dalam bidang niaga kerana ramai orang mengambil kesempatan keistimewaan pihak Istana untuk meraih keuntungan.



"Saya sedar dengan menulis dan membincangkan perkara ini secara terbuka, saya mendedahkan diri pada pelbagai kecaman - tetapi perbincangan ini perlu dilakukan," jelas beliau.



Luahan hati Tun Dr Mahathir dalam buku terbarunya itu tentang peranan Raja-Raja Melayu dalam sistem politik Malaysia bukan sesuatu yang baru.



Ia umpama membuka parut luka lama yang akan berdarah lagi.



Lebih tiga dekad lalu pada 1983, sewaktu baru dua tahun menjadi Perdana Menteri, beliau mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan satu Krisis Perlembagaan.



Pada waktu itu, beliau telah mengusulkan satu pindaan Perlembagaan yang mengatakan bahawa sekiranya satu rang undang-undang tidak diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong dalam tempoh 15 hari setelah ia dipersembahkan maka ia akan terus menjadi undang-undang.



Usul ini ditentang keras oleh Majlis Raja Raja kerana ia seolah-lah satu percubaan untuk menghakis bidang kuasa Yang di Pertuan Agong.



Namun, akhirnya satu huraian dapat dicapai dengan persetujuan Majlis Raja Raja tetapi dengan syarat tempoh masa ditambah menjadi 60 hari.



Sepuluh tahun kemudian pada 1993, Tun Dr Mahathir mengusulkan satu lagi pindaan Perlembagaan yang menghapuskan kekebalan dan immuniti Raja Raja Melayu daripada proses kehakiman



Hubungan Tun Dr Mahathir dengan Majlis Raja Raja mengalami satu lagi krisis pada tahun 2019, hanya setahun setelah menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.



Kali ini tentang hasrat kerajaan Pakatan Harapan menandatangani Statut Rom (Rome Statute).



Statut Rom adalah perjanjian mengenai jenayah antarabangsa yang menjadi asas kepada penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).



Empat jenis jenayah antarabangsa di bawah bidang kuasa Statut Rom adalah genosid (penghapusan bangsa/kaum), jenayah terhadap manusia, jenayah perang, dan jenayah agresif (perbuatan menyerang atau menceroboh hak individu atau hak wilayah sesuatu bangsa atau negara).



Namun, langkah itu ditentang oleh Majlis Raja-Raja kerana ia dianggap bakal menggugat kedaulatan negara serta akan melemahkan institusi beraja Malaysia, terutama pada Yang di Pertuan Agong.



Pendirian Majlis Raja-Raja itu turut mendapat sokongan parti pembangkang yang dipimpin Umno waktu itu.



Akibat tekanan itu, Tun Dr Mahathir terpaksa membatalkan penyertaan Malaysia dalam Statut Rom pada 5 April 2019 - hanya sebulan setelah ia bersetuju untuk menandatanganinya.



Rentetan peristiwa Statut Rom dan implikasinya dibincangkan dengan terperinci dalam buku terbarunya.



Buku 'Capturing Hope' atau Menggapai Harapan memberi perincian peristiwa dan pergolakan yang berlaku dari tahun 2018 sewaktu Tun Dr Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh sehingga Februari 2020 apabila beliau meletakkan jawatan secara mengejut.




 • Basir Siswo ialah bekas wartawan Berita Harian dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau ialah penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >