PETALING JAYA: Calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia telah segera membatalkan sebahagian program kempen mereka dan mengharungi kawasan yang dilanda banjir berikutan hujan lebat di Lembah Klang.
Daripada rancangan asal ke sebuah pasar malam, calon Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Encik Khairy Jamaluddin, melawat Taman Setia Warisan dan Kampung Melayu Subang, di mana beberapa rumah ditenggelami air lewat kelmarin.
"Dua hari lalu saya telah bercakap tentang banjir di sini, dan hari ini air telah melimpah dari tebing sungai," katanya, lapor The Star.
Tambahnya, beliau telah menghubungi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyelesaikan perkara itu, dan pasukan telah dihantar ke rumah penduduk untuk membantu dalam kerja pembersihan.
Encik Ramanan Ramakrishnan dari Pakatan Harapan (PH) juga dilihat di Taman Setia Warisan setelah membatalkan sesi bertemu rakyat yang dirancang.
Dalam satu video yang dikongsi di media sosialnya, Encik Ramanan berdiri di dalam air melebihi paras buku lali sambil meninjau kebajikan penduduk.
Di Gombak, calon PH, Datuk Seri Amirudin Shari, pula membatalkan jadual kempennya termasuk sesi ceramah untuk melawat ke pusat pemindahan banjir di daerah Klang dan Petaling.
Datuk Amirudin, juga Menteri Besar Selangor, berkata beliau akan menyelaraskan bantuan segera dengan agensi berkaitan banjir.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran bahawa lebih banyak ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan melanda pantai barat semenanjung dan Sarawak.
"Ia dijangka berlaku sepanjang minggu ini.
"Amaran hujan berterusan juga telah dikeluarkan bagi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehingga 11 November," kata MetMalaysia dalam satu kenyataan petang kelmarin.
Ia menggesa orang ramai supaya melayari laman web dan halaman media sosial jabatan itu.
Sementara itu, mangsa banjir di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat kepada 633 orang daripada 147 keluarga setakat 10.15 pagi semalam, lapor Berita Harian Malaysia.
Berdasarkan data di Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa termasuk warga, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
Datuk Amirudin kelmarin memaklumkan bahawa punca banjir dipercayai akibat kadar hujan yang tinggi dengan kawasan Meru, Klang merekodkan taburan hujan sebanyak 104 milimeter (mm).
"Di Selangor, kalau (taburan hujan) melebihi 80 ke 90mm, biasanya boleh menyebabkan banjir, projek tebatan banjir akan bermula pada tahun hadapan," katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan ada mendapat laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bahawa punca banjir adalah longkang.
Justeru, katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta supaya segera mengambil tindakan di longkang dan 'hotspot' banjir.
Selain itu, JPS juga mengeluarkan notis kesiapsiagaan yang meramalkan risiko banjir di kawasan berhampiran lembangan sungai di tiga negeri.
Lembangan terbabit adalah di Sungai Besut dan Sungai Setiu di Terengganu; Sungai Golok di Kelantan dan Sungai Endau di Pahang.
JPS menyatakan di Terengganu, daerah terbabit adalah di Besut iaitu di Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Pengkalan Nangka, SMK Seri Bukit Puteri dan kawasan sekitar, manakala di daerah Setiu, di Kampung Nyatoh, Kampung Che Mohid dan kawasan sekitar.