PERDANA Menteri Lee Hsien Loong dan Pemimpin China, Li Keqiang telah menyambut baik sokongan Singapura terhadap Inisiatif 'Belt and Road', berdasarkan tiga wadah iaitu ketersambungan prasarana, ketersambungan kewangan dan khidmat serta kerjasama pihak ketiga.
Mereka khususnya, menarik perhatian tentang potensi projek peringkat pemerintah, Inisiatif Ketersambungan Chongqing bagi menyokong Inisiatif 'Belt and Road' serta memainkan peranan dalam pembangunan Barat China, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Kededua pemimpin berkata demikian semasa bertemu dalam satu mesyuarat di Beijing, China, awal tadi.
Encik Lee kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke China - yang turut termasuk Xiamen, di Wilayah Fujian.
Dalam pertemuan itu juga, mereka menyambut baik peranan Koridor Pengangkutan Selatan dalam menghubungkan Silk Road Economic Belt dengan 21st Century Maritime Silk Road.
Kededua pemimpin juga menyemak semula kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang kerjasama ekonomi dan kewangan.