LOS ANGELES: Cik Hillary Clinton semalam mengisytiharkan dirinya sebagai calon Parti Demokrat bagi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat November ini, dengan menegaskan bahawa beliau telah menempa sejarah sebagai wanita pertama yang mengetuai parti utama dalam pertandingan ke Rumah Putih.
Pengumuman itu dibuat sedang Cik Clinton memenangi pemilihan utama di New Jersey, yang mengukuhkan kedudukannya bagi memperolehi pencalonan parti itu, sehari selepas media Amerika seperti The Associated Press dan CNN mengisytiharkan Cik Clinton mendapat jumlah perwakilan yang diperlukan bagi memenangi pencalonan presiden bagi Parti Demokrat.