Subuh
5:42
Syuruk
7:05
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:31
Dunia

Covid-19: M'sia kini masuki fasa pemulihan

Apr 27, 2020 | 05:43 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan negara itu kini sudah memasuki fasa pemulihan daripada jangkitan wabak Covid-19, lapor Berita Harian Malaysia, hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan pertambahan kes jangkitan baharu di negara ini direkodkan kekal berada pada tahap dua digit sejak minggu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata empat pelan tindakan membabitkan kerajaan dan orang ramai yang dikemukakan KKM perlu diteruskan bagi mengawal jangkitan Covid-19. 

Empat tindakan berkenaan ialah kawalan sempadan dan pergerakan yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan, manakala orang ramai pula perlu menjaga penjarakan sosial dan amalan kebersihan diri.

"Kawalan sempadan masih perlu diteruskan bagi mengelak berlaku kes import dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke Malaysia. Ini kerana terdapat lebih 180 negara yang mengalami jangkitan Covid-19.

"Selain itu, kawalan pergerakan perlu diteruskan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Paling utama adalah terletak kepada orang ramai untuk terus kekal di rumah dan menjalankan penjarakan sosial, selain menjaga kebersihan diri masing-masing," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, jangkitan Covid-19 dijangka belum dapat dihentikan kerana vaksin untuk merawat wabak itu belum ditemui setakat ini.

"Kemungkinan vaksin hanya akan ditemui dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi dan paling penting adalah kita perlu hentikan rantaian jangkitan ini," katanya. - BHM

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian