SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Covid-19: M'sia terus catat angka harian tertinggi dengan 7,857 kes

Covid-19: M'sia terus catat angka harian tertinggi dengan 7,857 kes

Siti Nurhaliza, Datuk K, Norman Hakim, Abby Abadi, Ustaz Azhar antara yang dikena kompaun
May 28, 2021 | 5:30 AM

Covid-19: M'sia terus catat angka harian tertinggi dengan 7,857 kes

TUNGGU GILIRAN DISUNTIK: Beberapa penduduk di Shah Alam, berdekatan ibu kota Kuala Lumpur, sedang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sedang Malaysia terus mencatat kenaikan kes baru jangkitan koronavirus itu. - Foto EPA-EFE
TUNGGU GILIRAN DISUNTIK: Beberapa penduduk di Shah Alam, berdekatan ibu kota Kuala Lumpur, sedang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sedang Malaysia terus mencatat kenaikan kes baru jangkitan koronavirus itu. - Foto EPA-EFE -

KUALA LUMPUR: Malaysia terus merekodkan bilangan kes baru Covid-19 tertinggi apabila sebanyak 7,857 kes dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.

Angka itu mengatasi catatan harian sebanyak 7,478 kes yang dilaporkan hanya sehari sebelumnya.

Pada Selasa lalu pula, negara itu mencatat sebanyak 7,289 kes - menjadikan kes jangkitan harian melebihi 7,000 kes kepada tiga hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka terbaru semalam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan mencapai kepada 541,224 kes.

Selangor mencatat 2,675 kes, diikuti Sarawak (772), Kelantan (754), Kuala Lumpur (561), Johor (549), Pulau Pinang (365) dan Sabah (217 kes).

Sejumlah 353 kes direkodkan di Negeri Sembilan, manakala Perak (228), Kedah (441), Melaka (234), Pahang (238), Terengganu (282), Labuan (170), Putrajaya (12) dan Perlis (enam), katanya.

Sebelum ini, beliau menekankan bahawa tempoh dua minggu akan datang penting kerana lonjakan kes boleh berlaku jika tidak dibendung.

Dr Noor Hisham berkata warga Malaysia perlu membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan, sedang jumlah kes baru terus melonjak.

Sementara itu, lebih 2.6 juta dos vaksin Covid-19 sudah diagihkan di seluruh negara sehingga kelmarin dengan lebih 64 peratus daripadanya mendapat perlindungan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, memaklumkan sebanyak 2,605,036 dos diagihkan dengan 1,667,280 individu sudah menerima dos pertama.

Jumlah penerima dos pertama itu bersamaan hampir 7 peratus daripada kira-kira 24.3 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas di negara itu, yang disasarkan untuk menerima vaksin Covid-19 bagi membentuk imuniti kelompok.

Selain itu, Dr Adham berkata sehingga kelmarin hampir sejuta individu, iaitu 937,756 orang sudah mendapat perlindungan lengkap dengan menerima dua dos vaksin.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 11.3 juta individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat kelmarin, iaitu peningkatan lebih 2 peratus berbanding sehari sebelumnya.

Dalam satu perkembangan lain, Berita Harian Malaysia (BHM) semalam melaporkan bahawa penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 ($3,196) kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika majlis tahnik anak keduanya, awal Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga dikenakan kompaun RM2,000.

Beliau berkata penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid serta Ustaz Iqbal Zain turut dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

Selain itu, tiga anak Datuk Khalid iaitu Muhammad Adib Khalid, Muhammad Aazief dan Muhammad Asyraf masing-masing dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

"Berhubung laporan perlanggaran SOP bertarikh 3 Mei lalu, bahagian pendakwaan sudah mengeluarkan arahan untuk kita mengenakan kompaun kepada mereka yang berkenaan, iaitu Datuk Seri Khalid sebanyak RM10,000.

"Datuk Seri Siti Nurhaliza juga dikompaun sebanyak RM10,000 di atas kegagalan memastikan penjarakan sosial sewaktu bergambar dan sebagainya (ketika majlis berkenaan)," katanya dalam sidang media secara dalam talian semalam.

Selain itu Datuk Arjunaidi berkata polis turut mengenakan kompaun RM2,000 ke atas pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi serta pasangan masing-masing berhubung satu kes perlanggaran SOP berasingan, berkaitan ziarah Aidilfitri, yang dilaporkan pada 17 Mei lalu. - BHM.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg