Subuh
5:42
Syuruk
7:05
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Dunia

KORONAVIRUS

Covid-19 mungkin muncul bermusim

Mar 27, 2020 | 05:30 AM

WASHINGTON: Koronavirus Covid-19 kemungkinan besar muncul lagi dalam kitaran bermusim, kata seorang saintis kanan Amerika Syarikat kelmarin, menekankan keperluan mendesak mencari vaksin dan rawatan berkesan.

Dr Anthony Fauci, yang mengetuai kajian ke atas penyakit berjangkit di Institut Kesihatan Nasional, berkata pada satu taklimat virus itu telah mula berakar di hemisfera selatan, di mana musim sejuk sedang menjelang.

"Yang kita mula lihat sekarang... di selatan Afrika dan di negara-negara hemisfera selatan, ialah kita mempunyai kes yang muncul sedang mereka memasuki musim sejuk mereka," katanya.

"Dan sekiranya mereka mengalami penularan besar, tidak dapat dielakkan bahawa kita perlu bersedia yang kita akan mendapat kitaran kali kedua.

"Ia benar-benar menekankan perlunya melakukan apa yang sedang kita lakukan dalam membangunkan vaksin, mengujinya dengan cepat dan cuba menyediakannya supaya kita mempunyai vaksin yang tersedia bagi kitaran seterusnya."

Buat masa ini terdapat dua vaksin yang telah memasuki tahap percubaan manusia - satu di Amerika dan satu di China - dan pengerahannya mungkin mengambil masa satu tahun ke satu setengah tahun.

Rawatan juga sedang dikaji melibatkan beberapa ubat baru dan ubat yang diberi kegunaan baru, termasuk ubat mencegah malaria.

"Saya tahu kita akan berjaya dalam menanganinya sekarang, tetapi kita betul-betul perlu bersedia bagi satu lagi kitaran," kata Dr Fauci.

Komen Dr Fauci yang membayang virus itu lebih berdaya tahan dalam cuaca lebih sejuk berbanding dalam keadaan panas dan lembap menyusuli satu laporan kajian China baru-baru ini - masih di peringkat awal dan menunggu ulasan - yang mencapai kesimpulan sama.

Sebab bagi kesimpulan itu ialah titisan pernafasan kekal di udara lebih lama dalam cuaca lebih sejuk, dan cuaca sejuk melemahkan imuniti.

Satu lagi sebab ialah virus itu merosot lebih cepat di permukaan lebih panas. - AFP.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian