Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:08
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

Cuaca panas, kebakaran landa banyak daerah Portugal, Perancis dan Sepanyol

Jul 16, 2022 | 07:58 AM

LEIRIA (Portugal): Ribuan anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan lebih 20 kebakaran di banyak kawasan di Portugal dan barat Sepanyol kelmarin, memusnahkan beberapa buah kampung dan menjejas kegiatan pelancongan apabila cuaca panas semakin buruk dengan suhu mencecah lebih 45 darjah Celsius di sebahagian Eropah.

Di Perancis, ratusan anggota bomba, dengan bantuan enam pesawat pemadam kebakaran, berusaha memadamkan dua kebakaran hutan di barat daya dan terpaksa memindahkan ribuan penduduk di kejiranan Gironde.

Di Santiago de Guarda, iaitu kawasan pusat daerah Leiria, Cik Albertina Francisco bergenang air matanya melihat asap tebal menyelubungi awan di kampungnya.

"Amat menyedihkan," kata Cik Francisco, 42 tahun, seorang penduduk yang membantu kakaknya yang sedang sakit untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.

"Tiada sesiapa yang membantu... anggota bomba dan pesawat pemadam kebakaran juga baru tiba... pemerintah mesti melakukan lebih banyak lagi untuk membantu kami," tambahnya.

Beberapa penduduk kampung itu juga sibuk cuba menyelamatkan haiwan peliharaan, sementara yang lain pula membantu usaha anggota bomba memadam kebakaran.

Di Leiria, lebih 3,000 hektar kawasan telah dijilat api sejauh ini, dengan pihak berkuasa menutup jalan-jalan utama dan jalan sampingan apabila angin kencang menyulitkan lagi usaha anggota bomba memadam kebakaran.

Lebuhraya utama Portugal yang menghubungkan Lisbon, ibu kota negara itu, dengan Porto juga ditutup kerana berlaku lagi kebakaran di bahagian utara lebuhraya itu.

Hampir 900 anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di tiga kawasan di Leiria sahaja, sementara di seluruh Portugal terdapat 2,841 anggota bomba yang dikerahkan di banyak kawasan dengan 860 buah kereta bomba.

Di wilayah Algrave, selatan Portugal, yang terkenal sebagai kawasan pelancongan, kebakaran berlaku di bandar Faro dan merebak ke Quinta do Lago, sebuah pusat peranginan mewah.

Rakaman-rakaman video yang disebarkan melalui dalam talian menunjukkan api menjulang berhampiran bangunan vila, menjilat pohon-pohon palma dan sebahagian kawasan padang golf.

Kira-kira separuh daripada kawasan yang dilanda kemarau di Portugal diletakkan dalam keadaan bahaya kerana cuaca terlalu panas dengan suhu tinggi dijangka di kawasan-kawasan seperti Santarem dan Castelo Branco, menurut institut cuaca IPMA.

Suhu paling tinggi dicatatkan Rabu lalu di pusat bandar Lousa iaitu 46.3 darjah Celsius, hanya satu darjah saja di bawah suhu paling tinggi yang dicatatkan pada 2003.

Seorang pesara, Encik Antonio Ramalheiro, menyalahkan pihak pengurusan hutan atas kebakaran itu selain faktor gelombang haba.

"Sungguh menakutkan apabila melihat api merebak," kata pesara berusia 62 tahun itu. "Kalau api sampai menjilat rumah... ia satu malapetaka... anda kehilangan semuanya."

Lebih 2,700 hektar kawasan telah terbakar sejauh ini di wilayah Gironde, Perancis, menurut laporan televisyen BFM TV.

Dua kebakaran terbesar adalah di bandar Landiras, selatan Bordeaux, dengan jalan-jalan ditutup dan sekitar 500 penduduk dipindahkan.

Satu lagi kawasan adalah di sepanjang pesisir pantai Atlantic, berhampiran kawasan ikon Dune du Pilat - iaitu beting pasir tertinggi di Eropah - terletak di kawasan Teluk Arcachon.

Kebakaran di situ memaksa sekitar 6,000 orang dipindahkan daripada tapak perkhemahan. Mereka ditempatkan di pusat pameran tempatan.

Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia mengeluarkan amaran pada Selasa lalu bahawa gelombang haba akan merebak dan menjadi lebih buruk di beberapa bahagian Eropah.

Gara-gara perbuatan manusia yang mengakibatkan perubahan iklim memicu kemarau, kebakaran hutan dijangka bertambah 30 peratus dalam masa 28 tahun akan datang, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Februari lalu. - Agensi berita.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3