Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cyprus bingung jadi sasaran ancaman Hezbollah

Jul 8, 2024 | 5:30 AM
Asap berkepul-kepul berikutan serangan dari selatan Lebanon dekat Ma’ayan Baruch, berhampiran sempadan Israel-Lebanon pada 1 Julai. Ketegangan kini semakin memuncak berikutan rancangan Israel untuk menyerang Lebanon.
Asap berkepul-kepul berikutan serangan dari selatan Lebanon dekat Ma’ayan Baruch, berhampiran sempadan Israel-Lebanon pada 1 Julai. Ketegangan kini semakin memuncak berikutan rancangan Israel untuk menyerang Lebanon. - Foto EPA-EFE

NICOSIA (Cyprus): Cyprus menyatakan keraguan pada 27 Jun terhadap amaran Hezbollah di Lebanon bahawa negara pulau itu boleh diseret ke dalam konflik jika ketegangan dengan Israel menjadi perang sepenuhnya.

Cyprus bertindak balas dengan rasa tidak percaya pada hari Khamis terhadap amaran daripada Hezbollah Lebanon bahawa pulau itu boleh diseret ke dalam konflik jika ketegangan dengan Israel meledak menjadi perang sepenuhnya.

Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang paling hampir dengan Timur Tengah, Cyprus, terkejut dengan komen ketua Hezbollah, Encik Sayyed Hassan Nasrallah, pada 26 Jun bahawa pulau itu boleh menjadi sasaran, jika ia membenarkan Israel menggunakan kemudahan tenteranya, sekiranya berlaku serangan ke atas Lebanon.

“Republik Cyprus sama sekali tidak terlibat dalam konflik perang,” kata Presiden Cyprus, Encik Nikos Christodoulides, yang menyifatkan komen Encik Nasrallah sebagai “tidak menyenangkan”.

EU turut prihatin dengan perkembangan terkini itu.

“Sebarang ancaman terhadap negara anggota kami adalah ancaman terhadap EU,” kata jurucakapnya.

Pemerintah Lebanon nampaknya cuba membendung sebarang kemungkinan kesan daripada komen Encik Nasrallah.

Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, menghubungi Encik Christodoulides pada 27 Jun.

Beliau mengucapkan terima kasih atas tindak balas diplomatik Encik Christodoulides yang berhati-hati – merujuk kepada Encik Christodoulides sebagai “kawan yang dikasihi”, kata sumber Cyprus.

Menteri Luar Lebanon, Encik Abdallah Bou Habib, turut bercakap dengan rakan sejawatannya dari Cyprus, Dr Constantinos Kombos, untuk menjelaskan “pergantungan berterusan” Lebanon terhadap peranan Cyprus, dalam mewujudkan kestabilan serantau, lapor kenyataan oleh pejabat Encik Bou Habib.

Sumber diplomatik Lebanon memberitahu agensi beita, Reuters, bahawa kedua-dua pihak telah bercakap “untuk menjelaskan perkara” tetapi tidak memberikan perincian bagaimana pegawai Lebanon secara khusus menangani ancaman Encik Nasrallah itu.

Pegawai di Nicosia menjelaskan bahawa mereka enggan membahaskan perkara itu lagi.

Anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Greece, sekutu utama, berkata Cyprus dan rakyatnya mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Ancaman penggunaan keganasan adalah pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya di wadah X.

Cyprus sentiasa melihat dirinya berada di atas politik Timur Tengah dan menawarkan tempat perlindungan kepada puluhan ribu rakyat Lebanon yang melarikan diri dari perang saudara pada 1970-an dan 80-an.

Ia telah melobi rakan kongsi EU-nya agar menawarkan bantuan kewangan kepada Lebanon, dan baru-baru ini menubuhkan koridor maritim bagi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terancam kebuluran di Gaza.

“Cyprus adalah pencetus kestabilan yang boleh dipercayai, dan hab serantau yang diiktiraf bagi operasi kemanusiaan, berdasarkan hubungan amat baik dengan semua negara di rantau ini,” kata jurucakap pemerintah, Encik Konstantinos Letymbiotis.

Tetapi ia juga menjalin hubungan yang bertambah baik dengan Israel, dan penglibatan pangkalan British yang lebih ketara di pulau itu dalam operasi ketenteraan di Syria dan baru-baru ini, Yaman.

Tentera udara Israel juga diketahui menjalankan latihan di ruang udara Cyprus, dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini kedua-dua negara telah menjalankan latihan ketenteraan bersama.

Penduduk Cyprus di ibu negara Nicosia berkata, orang ramai sudah cukup menghadapi komplikasi berpanjangan susulan pencerobohan Turkey di utara Cyprus pada 1974 selepas rampasan kuasa ringkas yang diilhamkan oleh Greece.

“Malam tadi apabila saya mendengar tentang berita itu, ya, saya bimbang,” kata Encik Filios Christodoulou, 84 tahun.

“Kami tidak ada kena-mengena dengan perang ini,” kata Cik Stella Patatini, 62 tahun.

“Sebaliknya, kami membantu keamanan di rantau ini dan memberi pertolongan kepada rakyat Palestin, jadi saya berasa selamat di Cyprus.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg