Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Debaran 'derita' jalan sesak balik kampung

E-MEL DARI KL,BASIR SISWO

Apr 30, 2022 | 05:30 AM



SETELAH dua tahun tidak dibenarkan merentas sempadan negeri untuk berhari Raya di kampung akibat wabak Covid-19, kesesakan jalan raya musim perayaan tahun ini tidak dapat dibayangkan.



Lebih 4 juta kenderaan dijangka membanjiri jalan raya semenanjung Malaysia mulai semalam.



Lebih 2 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang 772 klilometer yang bermula dari Johor Bahru hingga ke Bukit Kayu Hitam di Kedah.



Menurut penguasa Projek Lebuhraya Utara-Selatan( PLUS) biasanya jumlah kenderaan musim balik kampung Raya ialah sekitar 1.5 juta.



Penambahan lebih 500,000 kenderaan tahun ini amat merunsingkan.



Sudah 13 tahun saya menetap di Kuala Lumpur.



Setiap tahun pengalaman balik ke kampung isteri saya di Kulim Kedah menjadi suatu percaturan mencongak waktu dan ramalan keadaan trafik yang mendebarkan.



Perjalanan dari Shah Alam ke Kulim sejauh 345 kilometer yang biasanya mengambil masa tiga jam setengah akan menjadi tujuh hingga lapan jam.



Tempat berehat perhentian R&R sepanjang perjalanan penuh sesak hinggakan kalau perlu ke tandas terpaksa beratur berasak-asak menunggu lama.



Oleh sebab itu, sejak seminggu lalu, PLUS sudah mula berkempen mendidik orang ramai cara mengelakkan kesesakan luar biasa yang dijangkakan hujung minggu ini.



Pihak polis juga memberi amaran hukuman berat terhadap mereka yang memandu laju melebihi had dan menggunakan telefon bimbit.



Kemalangan jalan raya sewaktu musim balik kampung adalah sesuatu yang membimbangkan. Dalam keghairahan bertemu ibu bapa dan sanak saudara, kegembiraan boleh bertukar menjadi tragedi menyayat hati.



Pada 2019, 21,000 kemalangan dilaporkan dengan 120 korban jiwa. Bayangkan, pada enam hari pertama sahaja 106 jiwa terkorban.



Pada 2018, terdapat lebih 22,000 kemalangan mengakibatkan 248 korban.



Cuti umum Hari Pekerja 1 Mei Ahad dan Isnin ini akan memburukkan lagi keadaan kerana ini bermakna orang bukan Islam juga akan mengambil kesempatan hujung minggu yang panjang untuk keluar bercuti.



Pengumuman kerajaan baru-baru ini, menawarkan bayaran tol percuma untuk tiga hari kemuncak balik kampung di Lebuhraya Utara-Selatan dan diskaun sehingga 50 peratus di 30 lebuh raya lain adalah berita baik yang dialu-alukan tetapi juga pasti menambah kesesakan.



Tol percuma balik kampung sempena bebas Covid yang pertama kali diberikan itu dijangka menjimatkan lebih RM77 juta ($24.5 juta) untuk pengguna jalan raya. Ia akan ditanggung oleh penguasa lebuh raya.



Setiap tahun, balik kampung Raya bukan sahaja menjadi isu negara tetapi juga dilema keluarga. Apatah lagi untuk suami isteri yang berasal dari kampung dan negeri berbeza.



Sahabat saya yang lahir di Selangor dan mempunyai isteri kelahiran Kelantan mengeluh setiap kali tiba sambutan Raya. Beliau terpaksa mengalah beraya di Kelantan setiap tahun.



Sudah hampir 20 tahun berkahwin dengan empat cahaya mata tetapi tidak pernah dapat berhari Raya pertama di rumah orang tua sendiri.



Perjalanan ke pantai timur amat mencabar dan menduga kesabaran. Lebuh raya utama ke Pahang, Kelantan dan Trengganu ialah Lebuhraya Karak yang melintasi banjaran gunung Titiwangsa melalui Genting Highlands.



Walaupun hanya 60 kilometer ia adalah jalan utama yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan pantai timur.



Tetapi laluan itu seakan-akan seperti perangkap kerana apabila jalan raya sesak akibat kemalangan, tidak ada laluan untuk keluar atau berpatah balik.



Awal tahun ini, satu kemalangan melibatkan sembilan kenderaan mengakibatkan kesesakan sepanjang 20 kilometer.



Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru Kelantan sejauh 500 kilometer yang biasanya tujuh jam boleh berubah menjadi 18 jam sewaktu sesak.



Bagi saya yang menetap di Kuala Lumpur - di pertengahan jarak antara Singapura dengan Kedah - terpaksa bergilir setiap tahun.



Kebetulan tahun ini giliran saya ke Kedah pada raya minggu pertama.



Setelah dua tahun tidak menderita trauma kesesakan jalan raya balik kampung, perasaan yang mendebarkan kini berubah menjadi gerun.



  • Penulis mantan wartawan Berita Harian dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >