KARNATAKA (India): Tidak dapat dibayangkan perasaan dan apakah yang difikirkan seseorang apabila mendapati mereka nyaris dibaham harimau liar.
Itulah detik cemas yang dialami seorang penunggang dan pembonceng motosikal yang hampir menjadi ‘santapan’ haiwan tersebut.
Kejadian berlaku di sempadan Taman Negara Nagarhole, selatan India, yang merupakan tempat tinggal kepada sekitar 72 harimau Bengal.
Menerusi rakaman yang diambil oleh pembonceng motosikal itu dan dimuatnaik di media sosial baru-baru ini, ia menunjukkan seekor harimau belang muncul dari kawasan hutan, lalu bertindak mengejar mereka secara tiba-tiba.
Mujur penunggang motosikal itu sempat memecut laju kenderaannya sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.
Video tersebut menjadi tular setelah ia dimuatnaik di media sosial pada Ahad lalu.
Pada awal tahun ini, salah seekor harimau dari taman itu telah membunuh tiga orang, termasuk dua lelaki berusia 28 tahun dan 60 tahun, sebelum ia ditangkap dan diberi ubat untuk menenangkannya oleh pegawai keselamatan taman itu.
Harimau Bengal merupakan haiwan terancam, menurut Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), dengan bilangannya semakin berkurangan.