FRANKFURT (AFP) - BANK terbesar Jerman, Deutsche Bank, akan memberhentikan 18,000 pekerja menjelang 2022 bagi menyusun-semula bank itu yang sedang menghadapi kemelut kewangan.
Pemberhentian pekerja itu adalah tambahan dari 6,000 pekerja yang sudah diberhentikan setahun lalu.
Langkah itu akan mengurangkan kos tahunan sebanyak 6 bilion euro ($9.16 bilion) bagi tempoh yang sama.
“Hari ini, kami mengumumkan satu rombakan besar bank Deutsche dalam berdekad,’’ kata ketua eksekutifnya, Encik Christian Sewing.
Penyusunan-semula bank itu adalah langkah terakhir selepas rundingan bergabung dengan bank Commerzbank, gagal.
Deutsche Bank mengumumkan ia dijangka menghadapi kerugian sebanyak 2.8 bilion euro bagi suku kedua. Sejak empat tahun lalu, permodalan pasaran bank itu menjunam sebanyak 75 peratus, menyebabkan ia menjadi sasaran untuk diambil-alih oleh bank lain.