Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24

'Dinasti' Rajapaksa didesak berundur

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

YANG DICEMUH

'Dinasti' Rajapaksa didesak berundur

Puluhan ribu rakyat Sri Lanka desak presiden, perdana menteri dan anggota keluarganya tinggalkan politik
Apr 25, 2022 | 05:30 AM

COLOMBO: Korban pertama selepas protes selama berminggu-minggu di Sri Lanka berkaitan kekurangan makanan dan bahan api meningkatkan desakan ke atas Presiden Gotabaya Rajapaksa supaya meletakkan jawatan, dengan seorang pemimpin pembangkang utama berkata beliau "bertanggungjawab atas setiap kematian" yang berlaku.

Tragedi itu berlaku sedang beribu-ribu penduduk Sri Lanka, yang menuntut "perubahan sistem menyeluruh", berhimpun di ibu kota Colombo dan banyak bandar lain untuk menyeru Encik Rajapaksa dan anggota keluarganya yang berkuasa supaya meninggalkan politik di tengah-tengah krisis ekonomi yang kian meruncing.

Polis Sri Lanka melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup Selasa lalu di bandar Rambukkana selepas gas pemedih mata gagal menyuraikan sekumpulan penunjuk perasaan yang menghalang landasan kereta api dan cuba membakar sebuah trak diesel, kata unit media polis di Colombo.

Menurut AFP, seorang lelaki terbunuh dalam kejadian itu. Sekurang-kurangnya 29 orang, termasuk 11 pegawai polis, turut cedera, menurut angka rasmi.

"Letak jawatan sekarang!" kata Encik Harsha de Silva, seorang anggota parlimen daripada parti pembangkang utama Samagi Jana Balawegaya dalam ciapan Twitter yang ditujukan kepada Encik Rajapaksa.

Sebagai ketua negara, "anda bertanggungjawab atas setiap kematian."

Sri Lanka mengalami krisis ekonomi paling teruk sejak ia mencapai kemerdekaan lebih 70 tahun lalu, menyebabkan rakyat naik marah dan menuntut penyingkiran keluarga Rajapaksa.

Rakyat daripada pelbagai latar belakang telah berkumpul di Galle Face Green sejak lebih dua minggu lalu sambil melaungkan "Gota gila" dan "Baliklah Gota", lapor Aljazeera.

TIDAK MAHU BERUNDUR

Namun, satu laporan Bloomberg berkata pemimpin Sri Lanka itu tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berundur.

Presiden Rajapaksa berkata beliau tidak akan meletak jawatan dalam apa jua keadaan, manakala abangnya, Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa, menawarkan rundingan dengan penunjuk perasaan yang menggesa pemerintah supaya berundur ekoran kegagalan mereka menguruskan ekonomi dengan baik.

Dalam ucapan kepada negara, Encik Mahindra menyeru rakyat supaya bersabar ekoran berlakunya lonjakan harga dan kekurangan bekalan sambil menggembar-gemburkan peranan keluarganya dalam menamatkan perang saudara selama beberapa dekad pada 2009.

"Kami tidak menamatkan perang untuk menyebabkan rakyat menderita seperti ini," kata perdana menteri berusia 76 tahun itu dalam ucapannya yang disiarkan menerusi televisyen Isnin lalu.

Pemerintah akan mencari huraian walaupun negara sedang menghadapi masalah, katanya.

"Buat pertama kalinya, penduduk daripada semua jenis fahaman politik dan sosial berkumpul untuk membuat tuntutan yang tidak boleh dirundingkan supaya presiden meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada pemimpin yang mampu mengeluarkan kami daripada krisis sosio-ekonomi ini," kata Encik Buddhi Karunatne, 29 tahun, seorang pekerja dalam bidang pengiklanan.

Paparan kemarahan itu merupakan satu perubahan bagi Presiden Rajapaksa, 72 tahun, yang memenangi jawatan itu pada 2019 dengan majoriti besar, disusuli kejayaan partinya memperoleh majoriti dua pertiga di parlimen kurang setahun kemudian.

Kemenangan tersebut membolehkan beliau melantik abangnya, Encik Mahinda, sebagai perdana menteri dan meminda perlembagaan untuk mengukuhkan kuasa.

Beliau juga melantik tiga anggota keluarganya memegang jawatan penting dalam kabinet, termasuk portfolio kewangan, pertanian dan sukan, kata Aljazeera.

DI MANA SILAPNYA?

Menurut The New York Times, Sri Lanka sepatutnya menjadi kisah kejayaan selepas perang, dengan ekonomi yang pesat membangun selepas konflik selama beberapa dekad.

Sebaliknya, ia menjadi negara demokrasi terbaru terjerumus ke arah autoritarianisme, di bawah pemerintahan seorang pemimpin, yang menurut pengkritiknya, lebih menumpukan perhatian pada melindungi dinasti politik keluarganya daripada institusi dan ekonomi negara.

Ini menyebabkan Sri Lanka tidak mampu menangani krisis ekonomi dan hutang yang semakin meningkat.

USAHA TERKINI

Pemerintahan Rajapaksa kini cuba mempercepat usaha mencari pembiayaan: Perbincangan dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) sedang berjalan, dan ia juga menjangkakan dana baru dari China dan India.

Namun, beberapa penunjuk perasaan berkata mereka hanya akan beredar jika Encik Rajapaksa berundur.

Dalam langkah berasingan, pakatan pembangkang utama Samagi Jana Balawegaya (SJB) pula berkata ia akan memberi tempoh seminggu kepada presiden dan perdana menteri untuk berundur sebelum mengemukakan usul undi tidak percaya di parlimen.

"Kestabilan politik adalah pra-syarat untuk perbincangan IMF. Rakyat tidak yakin dengan pemerintah ini," kata seorang pemimpin SJB, Encik Eran Wickramaratne, kepada Reuters.

"Presiden dan perdana menteri harus meletakkan jawatan." - Agensi berita


"Buat pertama kalinya, penduduk daripada semua jenis fahaman politik dan sosial berkumpul untuk membuat tuntutan yang tidak boleh dirundingkan supaya presiden meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada pemimpin yang mampu mengeluarkan kami daripada krisis sosio-ekonomi ini."

- Encik Buddhi Karunatne, 29 tahun, seorang pekerja dalam bidang pengiklanan yang menyertai tunjuk perasaan di Colombo.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3