Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Doktor pelatih Korea S bantah rancangan tambah pelajar sekolah perubatan

Feb 21, 2024 | 2:21 PM
Doktor pelatih menghadiri satu mesyuarat tergempar di ibu pejabat Persatuan Perubatan Korea di Seoul pada 20 Februari.
Doktor pelatih menghadiri satu mesyuarat tergempar di ibu pejabat Persatuan Perubatan Korea di Seoul pada 20 Februari. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Lebih 1,600 doktor pelatih di Korea Selatan telah keluar meninggalkan tugas mereka pada 20 Februari, memaksa hospital menolak pesakit dan berebut untuk menjadualkan semula prosedur perubatan yang tidak mendesak.

Tindakan kolektif itu dibuat sehari selepas 6,400 doktor pelatih di seluruh negara – mewakili separuh daripada semua doktor pelatih – meletak jawatan beramai-ramai untuk membantah rancangan pemerintah negara itu untuk meningkatkan pengambilan pelajar ke sekolah perubatan mulai 2025.

Pada 6 Februari, Seoul mengumumkan rancangan meningkatkan pengambilan tahunan pelajar sekolah perubatan kepada kira-kira 5,000 – peningkatan 65 peratus daripada 3,000 yang ada sekarang – dalam usaha menangani masalah kekurangan doktor yang meruncing.

Rancangan itu ditentang kedua-dua Persatuan Pelatih dan Penduduk Korea serta Persatuan Perubatan Korea yang berpendapat terdapat bilangan doktor yang mencukupi di negara itu dan sebarang peningkatan dalam bilangan mereka boleh membawa kepada prosedur perubatan yang tidak perlu dan menjejas sistem Insurans Kesihatan Nasional Korea.

Namun pengkritik menyifatkan tindakan doktor itu sebagai mementingkan diri sendiri.

Profesor ekonomi kesihatan dan dasar di Universiti Kebangsaan Seoul, Encik Kim Jin-hyun, berkata bantahan itu berdasarkan “alasan yang lemah” sambil menambah bahawa “doktor tidak boleh meninggalkan pesakit mereka”.

“Adalah fakta bahawa terdapat kekurangan doktor,” katanya kepada The Straits Times.

Menurut data 2023 daripada Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), terdapat 2.6 doktor bagi setiap 1,000 orang di Korea, jauh lebih rendah daripada purata OECD iaitu 3.7.

“Jika anda mengeluarkan doktor perubatan tradisional, nisbahnya jatuh kepada 2.1 bagi setiap 1,000 penduduk. Ini merupakan paling rendah dalam kalangan negara OECD,” kata Profesor Jeong Hyoung-sun daripada Jabatan Kesihatan Awam, Universiti Yonsei.

Beliau berpendapat sebab sebenar di sebalik bantahan itu adalah kerana khuatir dengan adanya lebih ramai doktor maka akan menjejas pendapatan mereka.

“Di hospital, doktor mempunyai tahap gaji berbeza mengikut tahap dan disiplin mereka, jadi jika terdapat lebih ramai doktor dalam sektor itu, maka akan ada kesan kepada pendapatan mereka,” katanya kepada ST.

Doktor di Korea Selatan adalah antara yang berpendapatan tertinggi dalam kalangan 38 negara OECD, dengan purata gaji tahunan untuk doktor pakar adalah kira-kira AS$200,000 ($269,000) pada 2020.

Walaupun gaji tinggi, pegawai kesihatan berkata negara itu masih kekurangan sebanyak 15,000 doktor menjelang 2035, terutamanya disebabkan penduduknya yang semakin tua.

Purata kadar pertumbuhan tahunan penduduk berumur 65 tahun ke atas di Korea Selatan sejak 10 tahun lalu ialah 4.4 peratus, lebih tinggi daripada purata OECD sebanyak 2.6 peratus dan negara jiran Jepun (2.2 peratus).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg