Donald Trump mahu kembangkan senjata nuklear, di tempat teratas

WASHINGTON - Presiden Donald Trump berkata beliau mahu memastikan senjata nuklear Amerika Syarikat di 'tempat teratas', sambil berkata Amerika telah jatuh di belakang dari segi keupayaan senjata atom.

Dalam temu bual Reuters, Encik Trump berkata China dapat menyelesaikan cabaran keselamatan negara yang ditimbulkan Korea Utara "dengan mudah jika mereka mahu," meletakkan tekanan ke atas Beijing supaya mengenakan pengaruh bagi mengekang tindakan semakin berani Pyongyang.

Dalam komen pertama mengenai senjata nuklear Amerika sejak memegang jawatan itu pada 20 Jan, Encik Trump pada Khamis (23 Feb) berkata beliau ingin melihat dunia tanpa senjata nuklear tetapi melahirkan kebimbangan bahawa Amerika telah "ketinggalan dari segi keupayaan senjata nuklear".

"Saya yang pertama yang ingin melihat semua orang - tiada siapa yang mempunyai senjata nuklear, tetapi kita tidak harus ketinggalan walaupun pada sebuah negara sahabat. Kita tidak harus terkebelakang dari segi kuasa nuklear.

"Ia akan menjadi indah, impian bahawa tiada negara mempunyai senjata nuklear, tetapi jika negara-negara mahu mempunyai senjata nuklear, kita akan berada di atas," kata Trump.

Russia mempunyai 7,300 peledak dan Amerika Syarikat sebanyak 6,970, menurut Tabung Ploughshares, sebuah kumpulan antinuklear.

"Sejarah Perang Dingin menunjukkan kepada kita bahawa tidak ada yang berada paling atas perlumbaan senjata dan bahaya nuklear," kata Encik Daryl Kimball, pengarah eksekutif Persatuan Kawalan Senjata kumpulan bukan meraih untung.

"Russia dan Amerika mempunyai lebih banyak senjata daripada yang diperlukan untuk menghalang serangan nuklear satu sama lain atau oleh negara bersenjata nuklear," katanya.

Perjanjian strategik baru had senjata yang dikenali sebagai New Start antara Amerika dan Rusia menyatakan bahawa menjelang 5 Feb 2018, kedua-dua negara perlu mengehadkan senjata strategik nuklear mereka ke paras yang sama selama 10 tahun.

Penganalisis telah mempersoalkan sama ada Trump mahu membatalkan New Start atau akan mula menggerakkan kepala peledak lain.

Dalam temu bual itu, Trump menyifatkan New Start sebagai "perjanjian berat sebelah".

"Satu lagi perjanjian kurang baik dibuat, sama ada Start, atau perjanjian Iran... Kita akan mula perjanjian yang baik," katanya.

'KAMI SANGAT MARAH'

Amerika Syarikat sedang memodenkan peralatan ketenteraan 30 tahun dengan berlanja AS$1 trilion ($1.4 trilion) - di luar kemampuannya, menurut pakar.

Trump juga mengadu bahawa penempatan peluru berpandu Russia melanggar perjanjian 1987 yang melarang peluru berpandu-darat jarak sederhana Amerika dan Russia.

"Bagi saya ia satu masalah besar," kata Encik Trump.

Ditanya sama ada beliau akan membangkitkan isu itu kepada Encik Putin, Trump berkata beliau akan berbuat demikian "jika dan apabila kami bertemu".

Beliau berkata beliau tidak mempunyai jadual pertemuan dengan Encik Putin.

Bercakap di Pejabat Oval, Encik Trump mengisytiharkan bahawa "kami sangat marah" pada ujian peluru berpandu balistik Korea Utara. Katanya, mempercepatkan sistem pertahanan peluru berpandu bagi sekutu Amerika, iaitu Jepun dan Korea Selatan, adalah antara pilihan yang ada.

"Kita akan lihat apa yang berlaku. Tetapi keadaannya sangat berbahaya, dan China boleh menamatkannya dengan cepat pada hemat saya," kata beliau.

Mesyuarat Encik Trump dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe awal bulan ini di Florida terganggu dengan pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara.

Trump tidak sepenuhnya menolak kemungkinan bertemu Kim pada masa depan tetapi menyatakan ia mungkin terlambat.

"Ia sudah amat lewat. Kami amat marah pada apa yang beliau lakukan, dan ini sepatutnya dijaga semasa pentadbiran Obama," katanya.

Menurut laporan berita Jepun, kerajaan Jepun merancang memulakan perdebatan mengenai penempatan sistem pertahanan peluru berpandu Amerika yang dikenali sebagai Kawasan Pertahanan Terminal Altitud Tinggi, atau THAAD, dan sistem pertahanan peluru berpandu darat Aegis Ashore untuk meningkatkan keupayaan menentang peluru berpandu balistik Korea Utara.

Sumber-sumber kerajaan Jepun memberitahu Reuters tahun lepas bahawa Jepun boleh mempercepatkan perbelanjaan sekitar AS$ 1 bilion untuk meningkatkan pertahanan peluru berpandu balistik.

Encik Trump berjanji semasa berkempen akan meningkatkan pertahanan peluru berpandu.

Beberapa minit selepas upacara rasmi pelantikannya pada 20 Januari, Rumah Putih mengumumkan bahawa ia akan membangunkan sistem pertahanan peluru berpandu terkini untuk melindungi negara daripada serangan Iran dan Korea Utara.

Ia tidak memberikan butiran sama ada sistem itu akan berbeza daripada sedia ada di bawah pembangunan, kos atau bagaimana ia akan membiayanya. - (Reuters)