BUENOS AIRES: Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan dua ikan paus kelasa (humpback whale) yang terdampar di pantai Atlantik di Argentina semalam (5 Okt), kata Yayasan Marin Dunia.
Ikan paus itu terkandas di pantai berdekatan bandar peranginan tepi laut La Lucila del Mar, 360 kilometer ke selatan Buenos Aires.
"(Ikan paus) pertama yang terkandas pada Ahad merupakan ikan paus kelasa betina muda, sepanjang 9.8 meter dan seberat kira-kira lapan tan," kata yayasan tersebut dalam satu kenyataan.
Ikan paus kedua merupakan "jantan daripada spesies sama, sepanjang 8.5 meter dan seberat kira-kira tujuh tan, yang timbul pada malam Isnin".
Sekitar 30 orang mengambil bahagian dalam operasi menyelamat itu, termasuk penduduk setempat, ahli pemuliharaan laut, anggota Pertahanan Awam, pegawai pengawal pantai, ahli bomba, sukarelawan dan penyelamat pantai.
Penyelamat menyelipkan kabel di bawah badan ikan paus yang disambungkan ke kren traktor untuk memindahkannya dari dasar laut yang berpasir.
Kedua-dua ikan paus kelasa tersebut berjaya dikembalikan ke laut. - AFP