Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Dunia gesa semua pihak di Myanmar elak kekerasan

PBB, Amerika, China dan Britain kutuk keganasan; dianggar sekurang-kurangnya 138 'penunjuk perasaan damai' terkorban sejauh ini
Mar 17, 2021 | 05:30 AM



YANGON: Masyarakat antarabangsa meminta semua pihak agar menahan diri daripada melakukan kekerasan setelah lebih sedozen penunjuk perasaan antikudeta terbunuh di Myanmar, sedang penunjuk perasaan meneruskan bantahan mereka menuntut demokrasi dipulihkan.



Ini walaupun mereka berdepan dengan junta tentera yang meningkatkan tindakan kekerasan mereka.



Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh di Myanmar kelmarin selepas satu hari lagi berlaku bantahan terhadap junta yang merampas kuasa enam minggu lalu, kata Persatuan Bantuan Tawanan Politik (AAPP) - satu kumpulan pemantau tempatan yang mengesan bilangan mereka yang ditangkap dan terkorban.



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat, China dan Britain lewat kelmarin mengutuk keganasan itu, yang menurut PBB telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 138 "penunjuk perasaan damai" - termasuk wanita dan kanak-kanak - sejak kumpulan jeneral tentera di negara itu menggulingkan pemimpin awam Cik Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.



Sejauh ini, kumpulan jeneral itu tidak menunjukkan sebarang tanda mahu mematuhi permintaan antarabangsa untuk menahan diri.



Hari paling berdarah berlaku Ahad lalu, apabila lebih tiga dozen penunjuk perasaan terbunuh ketika pasukan keselamatan bertindak keras terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi.



Namun pembunuhan itu tidak mematahkan semangat penunjuk perasaan, yang sekali lagi keluar membantah keesokan hari, dan sekali lagi menghadapi apa yang dikatakan oleh saksi sebagai tindakan amat keras oleh junta tentera.



Mereka yang terbunuh kelmarin ditembak mati di beberapa lokasi di wilayah tengah negara itu.



"Dua lelaki terbunuh akibat tembakan dan enam yang lain cedera," kata seorang saksi di bandar Aunglan di wilayah Magway kepada agensi berita AFP, sambil menambah bahawa salah seorang yang mati ditembak di bahagian dada.



"Beliau betul-betul di sebelah saya. Seorang lagi ditembak di kepala."



"Pihak junta telah memberi respons kepada seruan untuk memulihkan demokrasi di Burma dengan peluru," kata jurucakap Jabatan Ehwal Luar Amerika Syarikat, Cik Jalina Porter, kepada wartawan kelmarin, menggunakan nama lain bagi Myanmar, dan melabelkan serangan pada Ahad lalu sebagai "tahap rendah yang baru".



"Amerika Syarikat terus meminta semua negara mengambil tindakan konkrit untuk menentang kudeta, dan mencegah peningkatan kekerasan," tambahnya.



Pasukan keselamatan Myanmar telah menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan dalam tindakan keras hampir setiap hari di seluruh negara.



"Korban meningkat secara drastik," kata AAPP dalam satu kenyataan semalam, sambil menambah bahawa lebih 180 orang telah terbunuh sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.



Walaupun sebahagian besar kematian kelmarin adalah penunjuk perasaan antikudeta, beberapa mangsa adalah orang awam yang "tidak turut serta dalam tunjuk perasaan", katanya.



Sebilangan besar terbunuh di kawasan tengah Myanmar, sementara sekurang-kurangnya tiga mati di pusat perdagangan Yangon.



Kematian di Yangon termasuk dua wanita yang ditembak semasa mereka berada di rumah, sedang pasukan keselamatan melepaskan tembakan di jalan, menurut AAPP.



Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, juga meminta masyarakat antarabangsa "termasuk pelaku serantau, untuk bersatu dengan rakyat Myanmar dan aspirasi demokratik mereka," kata jurucakap beliau, Encik Stephane Dujarric, kelmarin.



Duta PBB ke Myanmar, Cik Christine Schraner Burgener, juga mengutuk pertumpahan darah yang berlaku kelmarin. - AFP, Reuters.




"Pihak junta telah memberi respons kepada seruan untuk memulihkan demokrasi di Burma dengan peluru... Amerika Syarikat terus meminta semua negara mengambil tindakan konkrit untuk menentang kudeta, dan mencegah peningkatan kekerasan."
- Cik Jalina Porter, Jurucakap Jabatan Ehwal Luar Amerika Syarikat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >