SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Encik Elon Musk, mengumumkan beliau mahu membatalkan perjanjian AS$44 bilion ($61.6 bilion) bagi pembelian Twitter Inc.
Beliau, dalam satu kenyataan, berkata langkah itu diambil selepas syarikat gergasi media sosial itu gagal mengemukakan maklumat mengenai akaun palsu di wadahnya.
Saham Twitter naik kepada AS$51.70 seunit pada April lalu apabila Musk mengumumkan hasratnya mahu membeli syarikat itu.
Namun, harganya jatuh kepada AS$35.76 seunit sebulan selepas itu apabila komitmen Encik Musk mula dipertikaikan dan semalam, saham Twitter jatuh lagi kepada AS$37 seunit.
Peguam Encik Musk memberitahu, Twitter gagal atau enggan bertindak berhubung beberapa permintaan anak guamnya mengenai maklumat akaun palsu atau 'spam' yang terdapat di wadah media sosial itu.
"Twitter sudah memungkiri perjanjian dan dilihat memberi maklumat palsu atau mengelirukan ketika membuat persetujuan mengenai perjanjian penggabungan itu bersama Encik Musk.
"Maklumat ini penting bagi mengukur prestasi sebenar kedudukan syarikat berkenaan," katanya.
Sementara itu, Twitter dalam maklum balasnya, berkata ia akan menyaman Encik Musk susulan tindakan membatalkan pembelian.
Pengerusi Twitter, Encik Bret Taylor, menerusi laman mikro blog itu, mengumumkan pihaknya akan bertindak mengikut undang-undang bagi memastikan Encik Musk menghormati dan meneruskan perjanjian itu.
Sebelum ini, Encik Musk memberi amaran akan membatalkan pembelian itu jika Twitter gagal mengemukakan bukti bahawa jumlah akaun 'spam' atau 'bot' adalah lebih rendah daripada 5 peratus keseluruhan pengguna perkhidmatan media sosial itu.
Bulan lalu, Twitter memberikan Encik Musk akses data 'firehose' syarikat itu yang mengandungi ratusan juta 'tweet' harian pengguna. - Agensi berita.