Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

BERITA

Enam petugas media didakwa di Myanmar

Mar 04, 2021 | 05:30 AM



YANGON: Enam petugas media didakwa di mahkamah berhubung liputan demonstrasi membantah rampasan kuasa tentera Myanmar. Ia membabitkan seorang jurugambar Associated Press (AP) dan lima wartawan lain, menurut peguam kepada individu berkenaan.



Jurugambar AP, Thein Zaw, 32 tahun, ditahan pada Sabtu ketika membuat liputan di hab komersial di Yangon.



Lima yang lain adalah wartawan daripada Myanmar Now, Myanmar Photo Agency, 7Day News, Zee Kwet Online news dan pemberita sambilan, menurut AP.



Menurut peguam, keenam-enam petugas media itu didakwa kerana 'menimbulkan ketakutan, menyebarkan berita palsu dan mengganggu secara langsung atau tidak langsung kakitangan pemerintah'.



Junta tentera Myanmar meminda undang-undang berkaitan pada bulan lalu yang menyaksikan hukuman penjara dinaikkan daripada dua tahun kepada tiga tahun.



Ketika ini, keenam-enam petugas media itu ditahan di penjara Insein.



Dalam masa yang sama, bantahan menentang rampasan kuasa oleh pihak tentera Myanmar terus berlaku di negara itu tanpa menunjukkan sebarang tanda mereda dengan lebih banyak bantahan dirancang di seluruh negara.



Ini sedang presiden negara itu yang digulingkan, Encik Win Myint, dikatakan menghadapi dua tuduhan baru.



Sementara itu, pasukan keselamatan Myanmar melepaskan tembakan amaran ke udara sedang penunjuk perasaan berkumpul di satu lokasi di ibu kota komersial Yangon semalam, menurut seorang wartawan di tempat kejadian.



Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh sejak rampasan kuasa 1 Februari lalu.



Satu kumpulan yang mengesan penangkapan mengatakan berpuluh-puluh orang mungkin ditahan kelmarin (2 Mac), termasuk seorang penganjur tunjuk perasaan yang dikatakan telah ditahan pihak keselamatan yang menggunakan senjata api.



Seorang peguam Encik Win Myint, Encik Khin Maung Zaw, pula semalam berkata pemimpin itu kini menghadapi dua tuduhan baru, termasuk kerana melanggar perlembagaan yang boleh dihukum penjara hingga tiga tahun.



Sementara itu, di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), junta tentera Myanmar dan duta yang dikirim oleh pemerintah awam yang digulingkan tentera telah membuat tuntutan bertentangan mengenai siapa yang mewakili negara itu di PBB, kata para pegawai kelmarin.



Duta Besar Kyaw Moe Tun secara terang-terangan memutuskan hubungan dengan junta sebelum Perhimpunan Agung pada Jumaat lalu dan membuat permintaan penuh emosi untuk meminta bantuan demi memulihkan pemerintah awam yang diterajui Cik Aung San Suu yang diguling pihak tentera.



Esoknya, pihak junta mengatakan duta itu dipecat, tetapi pada Isnin lalu, Encik Kyaw mengirim surat kepada presiden Perhimpunan Agung PBB untuk mengatakan bahawa beliau masih memegang jawatan itu.



"Pelaku rampasan kuasa yang tidak sah itu... tidak memiliki kewenangan untuk mengambil kuasa yang sah daripada presiden negara saya," kata surat yang diperolehi AFP.



"Oleh itu, saya ingin mengesahkan kepada anda bahawa saya tetap menjadi wakil tetap Myanmar ke PBB," tambahnya.



Kelmarin, pihak kementerian luar Myanmar mengirim nota ke PBB, juga diperolehi AFP, yang mendakwa bahawa Encik Kyaw telah disingkirkan.



"Kementerian luar negara ingin memaklumkan bahawa majlis pentadbiran negara Myanmar telah menghentikan tugas dan tanggungjawab duta besar Kyaw Moe Tun," kata catatan dalam nota itu.



"Pada masa ini, Tin Maung Naing, timbalan duta perwakilan tetap, telah ditugaskan secara sementara sebagai ketua misi tetap Myanmar," tambah catatan itu.



Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, memberitahu satu taklimat akhbar bahawa pertubuhan itu telah menerima dua surat "bertentangan".



"Kami sedang meneliti surat-surat itu, dari mana asalnya dan apa yang akan kami lakukan," katanya.



Amerika Syarikat menyokong Encik Kyaw dan memuji "keberaniannya", dengan seorang jurucakap Jabatan Negara mengatakan "kami memahami bahawa duta tetap itu tetap memegang kedudukannya."



"Kami akan terus menentang kudeta tentera dan kami akan terus menyokong pemulihan pemerintah awam Myanmar yang dipilih secara demokratik," kata jurucakap itu.



Duta Amerika ke PBB, Cik Linda Thomas-Greenfield, bertemu Encik Kyaw secara maya kelmarin untuk menyatakan sokongan beliau.



Jawatankuasa pentauliahan dan protokol PBB akan meneliti isu tersebut dan kemudian merujuknya ke Perhimpunan Agung.



Encik Dujarric berkata utusan PBB ke Myanmar, Cik Christine Schraner Burgener, yang kini berada di Switzerland, "masih meneruskan perbincangannya dengan pelbagai pihak mengenai situasi saat ini".



Pada Jumaat, Cik Burgener berkata adalah "penting bagi masyarakat antarabangsa tidak memberikan pengiktirafan kepada rejim (tentera) ini," dan menyeru agar masyarakat antarabangsa mendesak pemulihan demokrasi di Myanmar.



Menurut peraturan Perhimpunan Agung, pentauliahan harus dikeluarkan oleh ketua negara atau pemerintah, atau menteri luar sesebuah negara.



Komunikasi yang dikirimkan ke pejabat ketua PBB kelmarin menggunakan kepala surat Kementerian Luar Myanmar, tetapi sebagai catatan, dan ia tidak ditandatangani.



Dalam suratnya pula, Encik Kyaw menulis bahawa Presiden Win Myint dan Menteri Luar Cik Suu Kyi melantiknya tahun lalu dan mereka dipilih secara sah bagi tugas mereka. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >