JAKARTA: Enam pegawai pusat pengundian (KPPS) dilaporkan meninggal dunia disebabkan keletihan melampau selepas bekerja dalam tempoh panjang pada hari pilihan raya umum Indonesia baru-baru ini.
Seorang daripada mereka, Supriyanto, 54, yang juga ketua KPPS di daerah Cigalontang, Tasikmalaya, Jawa Barat, pitam dan dikejarkan ke pusat kesihatan masyarakat tetapi diisytiharkan meninggal dunia pada jam 2.00 petang kelmarin.
Ketua Polis Cigalontang, Tudiman, berkata Supriyanto mungkin keletihan selepas bekerja 12 jam tanpa henti.
“Supriyanto mengadu sukar bernafas sebelum pitam.
“Keluarganya berkata beliau ada sejarah asma,” Tudiman dipetik sebagai berkata oleh tribunnews.com.
Sementara di Malang, Jawa Timur, pegawai KPPS, Agus Susanto, 40, dari daerah Lowokwaru, meninggal dunia selepas tamat tugasnya di pusat pengundian.
Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Malang, Zaenudin, berkata Agus meninggal dunia kerana keletihan selepas bertugas pada hari pilihan raya.
Pengguna media sosial turut bersedih, menggunakan tanda pagar #MartirDemokrasi untuk menghormati kerja keras mereka pada pilihan raya.
“Saya tidak dapat bayangkan betapa mereka amat keletihan.
“Kita perlu menghargai kerja keras mereka pada pilihan raya ini,” kata seorang pengguna @kakaoutloud menerusi Twitter semalam. — Agensi