Subuh
5:58
Syuruk
7:15
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERANG DI UKRAINE

EU setuju larang kebanyakan import minyak dari Russia

Jun 01, 2022 | 05:30 AM



KYIV/LVIV: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk melarang kebanyakan import minyak Russia ke blok 27 negara itu sedang tentera Ukraine dan Russia bertempur di pinggir Sievierodonetsk, bandar terakhir yang masih dikuasai Kyiv di wilayah strategik Luhansk, Ukraine.



Presiden Majlis Eropah (EC), Encik Charles Michel, berkata di Twitter tentang larangan itu, yang dipersetujui pada sidang puncak EU di Brussels kelmarin), akan serta-merta meliputi lebih dua pertiga import minyak dari Russia melalui laut, "memotong sumber pembiayaan besar bagi usaha perangnya".



Pemimpin blok itu menyatakan mereka telah bersetuju untuk mengurangkan 90 peratus import minyak dari Russia menjelang akhir tahun ini, menyelesaikan kebuntuan berhubung sekatan paling keras kumpulan itu terhadap Moscow sejak pencerobohannya ke atas Ukraine tiga bulan lalu.



Mereka bersetuju larangan minyak akan termasuk pengecualian buat Hungary - negara yang sangat bergantung kepada minyak mentah dari Russia dan yang telah menjadi halangan utama kepada perjanjian itu - dan sebilangan negara lain yang bimbang tentang kesan ekonomi daripada langkah itu.



Usaha untuk mencapai persetujuan larangan minyak itu sebelumnya telah dihalang oleh keengganan Hungary untuk bersetuju dengan larangan tersebut dengan negara itu menerima minyak Russia menerusi paip minyak yang merentas Ukraine.



Selain itu, mesyuarat pemimpin EU di Brussels juga bersetuju memotong hubungan bank terbesar Russia, Sberbank, daripada sistem kewangan antarabangsa Swift dan melarang penyiaran tiga lagi penyiar milik negara Russia, tambah Encik Michel.



Sejurus sebelum pengumuman itu, Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata keadaan kekal "amat sukar" di wilayah Donbas, di mana Russia menumpukan usaha ketenteraannya selepas gagal menawan ibu kota Kyiv, pada Mac.



Encik Zelensky berkata EU "terlalu berlembut terhadap Moscow" apabila pemimpin EU awalnya tidak dapat mencapai persetujuan mengenai larangan minyak itu.



Terdahulu, di Washington, Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata negaranya tidak akan menghantar sistem roket jarak jauh yang membolehkan Ukraine membedil jauh ke dalam sempadan Russia, keputusan yang digelar Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Russia, Encik Dmitry Medvedev, sebagai "rasional".



Russia telah berusaha mahu merampas seluruh wilayah Donbas, yang terdiri daripada Luhansk dan Donetsk, satu lagi wilayah yang mahu dituntut Moscow bagi pihak proksi kumpulan pemisah.



Menawan Sievierodonetsk dan bandar kembarnya Lysychansk di tebing bertentangan Sungai Siverskyi Donets akan memberi Moscow kawalan ke atas Luhansk dan membolehkan Kremlin mengisytiharkan satu bentuk kemenangan selepas lebih tiga bulan menceroboh Ukraine.



Namun, dengan memberi tumpuan kepada pertempuran merebut bandar kecil Sievierodonetsk, Russia telah membiarkan wilayah lain yang dikuasainya kepada serangan balas Ukraine.



Kyiv menyatakan dalam beberapa hari lalu, tenteranya mengusir tentera Russia ke kedudukan pertahanannya di Andriyivka, Lozove dan Bilohorka - kampung-kampung di tebing selatan Sungai Inhulets yang membentuk sempadan wilayah Kherson, di mana Moscow cuba untuk mengukuhkan kawalannya.



Sementara itu, Kremlin menyatakan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dalam perbincangan dengan Presiden Turkey, Encik Tayyip Erdogan, berkata Russia bersedia memudahkan eksport bijirin tanpa halangan dari pelabuhan Ukraine dengan penyelarasan Turkey.



Pemimpin Barat telah mengecam Russia kerana menyekat pelabuhan Ukraine, menyebabkan harga bijirin dan komoditi lain melambung tinggi.



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyatakan krisis makanan global semakin meruncing dan telah cuba menjadi perantara perjanjian untuk membuka sekatan eksport bijirin Ukraine. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >