Facebook larang kandungan bahayakan diri demi cegah bunuh diri

SYARIKAT Facebook Inc tidak akan membenarkan imej yang menampilkan kegiatan mencederakan diri sendiri di laman media sosial itu kerana mahu mengetatkan dasarnya terhadap kandungan yang boleh menggalak perbuatan membunuh diri.

Menurut laporan dari Reuters, langkah ini juga berpunca daripada kritikan yang semakin tegas tentang cara syarikat media sosial itu mengawal kandungan yang berkaitan dengan keganasan dan kandungan yang berpotensi menyebabkan bahaya.

Facebook juga berkata pada hari Selasa (10 September) bahawa kandungan yang berkaitan dengan perbuatan mencederakan diri sendiri kini menjadi lebih sukar untuk dicari di Instagram dan mereka akan memastikan bahawa ia tidak muncul di bahagian ‘Explore’ pada aplikasi perkongsian foto itu.

Kenyataan oleh Facebook itu juga diumumkan pada Hari Pencegahan Bunuh Diri Dunia yang jatuh pada 10 September. 

Facebook mempunyai pasukan penyederhana yang memantau kandungan seperti perbuatan ganas yang diterbitkan secara siaran langsung dan kandungan bunuh diri. 

Menurut Reuters pada bulan Februari, pasukan itu bekerja dengan sekurang-kurangnya lima syarikat lain yang menggunakan khidmat luaran di sekurang-kurangnya lapan negara yang mengawal kandungan di rangkaian media sosial mereka. 

Secara berasingan, dalam satu laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar 8 juta orang mati akibat bunuh diri setiap tahun, atau satu orang setiap 40 saat.

Oleh itu, pemerintah di seluruh dunia sedang berjuang untuk mengawal dengan lebih baik, kandungan di wadah media sosial yang sering dipersalahkan kerana menggalakkan penyalahgunaan, penyebaran pornografi dan untuk mempengaruhi atau memanipulasi pengundi. - Agensi berita.