SETIAUSAHA Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, telah menghadiri Forum Demokrasi Bali (BDF) ke-10 di Banten, Indonesia.
BDF, yang pertama kali dianjurkan pada 2008, ialah forum pelbagai hala yang menyediakan wadah bagi negara berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam memupuk demokrasi di Asia Pasifik.
Ketika menyampaikan satu kenyataan di Debat Umum, selaras dengan tema persidangan tahun ini, 'Apakah Demokrasi Bawa Hasil?', Dr Faishal berkata kesimpulan yang jelas daripada BDF yang dianjurkan sebelum ini adalah bahawa tidak ada bentuk demokrasi tunggal dan setiap negara mempunyai pendekatan masing-masing.
Beliau memberi contoh pendekatan Singapura yang memastikan suara kaum minoriti diwakili di Parlimen dan sifat pemerintah yang bersikap tegas memelihara keharmonian kaum.
Pemerintah juga mengamalkan sikap responsif terhadap rakyatnya, dengan beliau antara lain memberi contoh sesi Anggota Parlimen bertemu rakyat untuk mengetahui keperihatian mereka.
"Kesemua ini tidak dapat dilakukan tanpa pentadbiran yang bersih di semua peringkat, daripada pemerintah dan kehakiman hinggalah kepada anggota masyarakat dan perkhidmatan beruniform."